Pendaftaran PH lulus? Nanti dulu, kata Saifuddin

Pendaftaran PH lulus? Nanti dulu, kata Saifuddin

Bagaimanapun, setiausaha agung gabungan itu berkongsi laporan berita mengatakan dia mengesahkan perkara itu.

Free Malaysia Today
Saifuddin berdalih dengan FMT tetapi dilapor mengesahkan perkara itu dengan sebuah portal berita.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan dilapor berjaya didaftarkan sebagai sebuah gabungan, hampir setahun selepas ia dipohon, menurut gambar surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) yang disebarkan.

Malaysiakini melaporkan Setiausaha PH Saifuddin Abdullah mengesahkan perkara itu, namun memberitahu FMT supaya menunggu kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Peguam DAP Gobind Singh Deo dan penasihat undang-undang PPBM Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata mereka tidak dapat mengesahkan surat itu. FMT sedang menunggu jawapan Ketua Setiausaha (KSU) KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Saifuddin dalam pesanannya memberitahu FMT: “Sila tunggu kenyataan KSU KDN esok,” katanya ketika diminta mengesahkan sama ada pendaftaran gabungan itu diluluskan.

Kemudian, Saifuddin di Twitter berkongsi muatnaik Malaysiakini tentang pengesahan itu, tetapi berkata PH belum menerima sebarang sijil. “Apabila dihubungi, saya kata tunggu kenytaan rasmi daripada KSU KDN,” katanya.

Semalam, PH berharap JPPM akan pertimbang semula permohonannya, dan pernah membuat tuntutan undang-undang terhadap jabatan itu kerana menangguh-nangguhkan pendaftarannya.

Gabungan itu dibentuk tahun lepas, dan terdiri daripada DAP, PKR, PPBM dan Amanah. Tanpa pendaftaran itu, mereka tidak dapat bertanding pada pilihan raya baru-baru ini sebagai calon PH.

Sebaliknya, semua calon PH bertanding atas tiket PKR, menggunakan bendera PKR sebagai lambang bersama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.