Panel Suhakam terkejut polis sifatkan kehilangan Amri bukan kes jenayah

ASP Roslan Ramli

KUALA LUMPUR: Panel siasatan awam mengenai kehilangan misteri Amri Che Mat diberitahu hari ini bahawa polis tidak mengklasifikasikan kes itu sebagai jenayah kerana ketiadaan bukti.

Kenyataan ASP Roslan Ramli itu menyebabkan pengerusi panel Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) yang diketuai Datuk Mah Weng Kwai terkejut, dan mempersoalkan sama ada bukti yang ditemui tidak diambil kira.

“Isteri Amri melaporkan mengenai kehilangan suaminya, kereta pula ditemui dengan keadaan cermin sisi pecah di kawasan gelap.

“Adakah ia tidak boleh diklasifikasikan sebagai kes jenayah kerana tiada saksi?” soal Mah yang kemudiannya dijawab “Ya” oleh Roslan.

Roslan berkata, jika mahu mengklasifikasikan kes Amri sebagai kes bunuh, perlu ada anggota badan yang ditemui dan jika kes ugut, perlu ada ugutan yang dibuat.

Jawapan itu disusuli dengan Mah meninggikan nada suaranya, meminta Roslan merujuk suatu kes di Singapura, Sunny Ang.

“Saya mahu tahu, apakah yang diperlukan untuk memastikan bahawa sesuatu kes berkenaan dapat diklasifikasikan sebagai jenayah?” soalnya.

Mac lalu, seorang saksi, Syed Amri Abdul Jalil yang dipanggil memberi keterangan dalam siasatan awam itu berkata beliau menyaksikan penculikan Amri.

Syed Amri memberitahu, Toyota Fortuner milik aktivis badan amal Perlis Hope itu dihentikan oleh 3 kenderaan pacuan empat roda dan 2 buah kereta.

Roslan berkata, kes Amri sudah tentu akan disiasat sebagai jenayah jika ada bukti kukuh yang menunjukkan berlaku jenayah.

“Pegawai saya katakan, kes Amri diletakan di bawah kes orang hilang terlebih dahulu sehingga ada bukti kukuh,” katanya.

Apabila ditunjukkan gambar kenderaan yang dipercayai digunakam Amri, Roslan berpandangan bukti yang ada masih tidak cukup.

“Tidak ada saksi khusus. Sewaktu saksi dipanggil, dalam keterangannya hanya katakan tidak kenal dan tidak pasti sama ada berlaku pergaduhan atau kemalangan di lokasi Amri didakwa diculik.

“Saksi juga katakan yang dia tidak mengetahui kereta yang ditinggalkan di kawasan gelap itu adakah ia milik Amri atau tidak. Semua saksi kata tidak tahu,” katanya.

Amri, 43, hilang sejak 24 November 2016. Isteri beliau sebelum ini berkata 5 kenderaan menyekat keretanya sebelum beliau dibawa pergi kira-kira 500 meter dari rumah mereka di Bukit Chabang, Perlis.

Antara saksi yang disoal siasat ialah Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin, berikutan lawatannya ke rumah Amri yang diiringi polis dan pegawai dari Jabatan Mufti.

Asri berkata beliau ke rumah Amri untuk menyiasat “aduan” terhadap kecenderungan Amri terhadap Syiah, aliran yang dilabel “sesat” oleh pihak berkuasa Islam di Malaysia.

Dalam keterangan hari ini, Roslan berkata polis tidak melihat isu Syiah sebagai suatu isu dalam siasatan mengenai kehilangan Amri.

Isteri Amri dakwa suaminya dan Pastor Koh dicekup pasukan polis sama