
Kajian Baghunter menunjukkan beg tangan Hermes Birkin menawarkan purata kenaikan tahunan sebanyak 14.2%.
News.com.au pada Mac lalu melaporkan seorang individu membeli beg tangan Birkin Himalaya oleh Hermes keluaran 2014 pada harga AS$496,000 (RM1.5 juta) dalam lelongan Christie.
Beg tangan itu diperbuat daripada kulit buaya Nilo, buaya albino yang dibiak khas oleh Hermes dan dihiasi emas putih 18 karat dan berlian.
Menurut laporan itu, orang ramai boleh membeli sebuah pangsapuri 2 bilik tidur dan 2 bilik air di pusat bandar Brisbane pada harga sama.
Oleh itu, ia bukan sekadar simbol status untuk golongan kaya dan terkenal, ini menjelaskan mengapa sesetengah wanita membeli banyak beg tangan Hermes Birkin, seperti yang dirampas polis di Kuala Lumpur.
Semalam, polis merampas 284 beg tangan mewah, termasuk Hermes Birkin, di 3 kondominium mewah sekitar Bukit Bintang sebagai sebahagian siasatan dikaitkan dengan 1MDB. Mereka turut merampas 72 bagasi berisi wang tunai dan barang kemas.
Ada laporan mengatakan Datin Seri Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, mempunyai koleksi Birkin. Beliau dirakam membawa pelbagai beg tangan Hermes Birkin selama bertahun-tahun.
Baghunter melaporkan pada 2016 ia membandingkan 3 jenis pelaburan berbeza – Standard & Poor’s (S&P) 500, emas dan beg tangan Hermes Birkin.
Ketiga-tiga pelaburan ini dipilih kerana ia mewakili bentuk pelaburan berbeza dan popular.
Baghunter berkata, S&P 500 mewakili ciri pulangan pasaran saham secara menyeluruh, emas ialah komoditi paling popular bagi pelabur dan beg tangan Hermes Birkin adalah pelaburan ketara dan boleh dikumpul.
Ia menyemak pulangan lebih 35 tahun, sejak pengeluaran beg tangan Hermes Birkin bermula.
“Antara 1980 dan 2015, S&P 500 memberi pulangan purata sangat kecil 11.66%, menyamai purata pulangan sebenar 8.65%. Bagaimanapun, purata ini tidak mengambil kira naik turun pasaran sepanjang tempoh ini dan menganggap pelabur memilih tidak membeli atau menjual selama 35 tahun.
“Contohnya, pulangan tahunan S&P 500 memuncak dalam tempoh ini pada 1995 sebanyak 37.2%, tetapi juga mencecah purata rendah -36.55% pada 2008.”
Dalam tempoh sama, emas menawarkan purata pulangan tahunan 1.9%, bersamaan purata pulangan sebenar -1.5%.
Baghunter bagaimanapun berkata, purata itu tidak mengambil kira naik turun harga emas dalam tempoh ini. Ia juga menganggap pelabur memilih tidak membeli atau menjual sepanjang tempoh ini.
Contohnya, emas mencapai harga purata tertinggi sepanjang tempoh ini pada 2011 AS$1,571.52, tetapi ia turut mencecah purata rendah AS$271.04 pada 2001.
“Dalam tempoh sama, nilai beg tangan Hermes Birkin meningkat dari tahun ke tahun, dengan purata kenaikan tahunan sebanyak 14.2%.
“Bagaimanapun, tidak seperti S&P 500 dan pasaran emas, nilai beg tangan Hermes Birkin tidak pernah merosot dan terus meningkat secara stabil dan konsisten. Beg itu mengalami lonjakan nilai tertinggi pada 2001, meningkat sebanyak 25% dan dengan kenaikan terendah pada 1986 apabila nilainya naik sebanyak 2.1%.”
Baghunter berkata, pada 2016, pasaran pelaburan paling selamat dan kurang perubahan ialah beg tangan Hermes Birkin.
Baghunter mendapati saham S&P 500 dan emas tertakluk kepada naik turun positif dan negatif, tetapi beg tangan Hermes Birkin hanya mengalami pelbagai perubahan positif sejak diperkenalkan 35 tahun lalu.
Ini juga menunjukkan risiko melabur dalam S&P 500 dan pasaran emas, katanya sambil menambah: “Sebaliknya, pelabur yang membeli beg tangan Hermes Birkin akan menikmati pulangan menguntungkan, tidak kira bila mereka memutuskan untuk membelinya kerana nilai itu meningkat sejak 1980.
Ini menjadikan beg tangan Hermes Birkin paling kurang risiko dalam 3 pelaburan itu. Walaupun faktor ekonomi mempengaruhi nilai S&P 500 dan emas, sifat eksklusif beg tangan Hermes Birkin menyaksikan nilainya kekal dan meningkatkan, walaupun ketika ekonomi meleset.
Menurut laporan Baghunter, senarai menunggu Hermes untuk beg Birkin kadangkala sehingga 6 tahun. Ini turut menyumbang kepada kenaikan nilai jualan semula beg Birkin “dengan beg selalunya dijual di pasaran sekunder lebih mahal daripada harga asal”.
“Sebagai simbol status untuk golongan elit dan terlalu kaya, faktor utama yang mempengaruhi pasaran sekunder untuk Birkin adalah keinginan. Semua petanda menunjukkan keinginan itu kekal kukuh sepanjang 2016 kerana sejak beg itu dilancarkan pada 1985, dengan media melaporkan selebriti seperti Kim Kardashian dan Victoria Beckham yang selalu mempamerkan beg Birkin mereka dalam gambar paparazzi.”
Menurut laporan Fortune pada 2015, kos untuk Birkin baru bermula daripada AS$12,000 sehingga lebih AS$200,000 dan ia selalunya dijual di pasaran sekunder untuk mendapat keuntungan melebihi harga asal.
Purseblog yang mendakwa menawarkan panduan harga antarabangsa untuk Hermes Birkin, berkata beg tangan 25sm berharga AS$9,400 (kedua-duanya kulit Clemence dan Togo) dan AS$9,250 (kulit Epsom).
Beg tangan 30sm bernilai AS$10,900 (Clemence dan Togo) serta AS$10,800 (Epsom) dan beg tangan 40sm berharga AS$13,200 (Clemence dan Togo) serta AS$12,900 (Epsom).
5 lori, 284 kotak beg tangan, 72 beg wang tunai, dan 1 peti besi belum buka