
Penasihat Suaram, Kua Kia Soong berkata, program BTN dilapor mempromosikan ketuanan Melayu secara terang-terangan dan tanpa segan silu bersikap partisan terhadap kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.
“Pada 2009, kerajaan Selangor dan Pulau Pinang melarang penjawat awam negeri itu, pekerja anak syarikat negeri dan pelajar institusi kerajaan menghadiri kursus BTN kerana mereka dilihat sebagai satu bentuk indoktrinasi perkauman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang gembira melihat proses mengurangkan jumlah kakitangan tidak diperlukan daripada kerajaan dan usaha memperbaharui sistem pendidikan, berkata BTN patut dibubarkan kerana berdasarkan kontroversi dan pendedahan terbaru, BTN ialah “sumpahan untuk memupuk pemikiran kritikal dan kreatif rakyat Malaysia”.
BTN ditubuhkan untuk “memupuk semangat patriotisme dan komitmen untuk kecemerlangan dalam kalangan rakyat Malaysia, dan melatih pemimpin dan bakal pemimpin bagi menyokong usaha pembangunan negara”.
Bagaimanapun, Kua berkata, bertahun-tahun di bawah Dasar Ekonomi Baru, “ia menjadi rahsia terbuka pelajar dan penjawat awam Melayu terpaksa melalui sesi ‘indoktrinasi’ BTN”.
“Pada lewat 2009, banyak dakwaan berkaitan propaganda perkauman dan politik timbul di portal dalam talian. Nik Nazmi Nik Ahmahd, adun Seri Setia di Dewan Undangan Negeri Selangor mendakwa kem BTN yang dihadirinya dahulu ‘bersifat perkauman dan politik’, dengan jurulatih kerap memberitahu peserta, Melayu memerlukan tindakan afirmatif dan mengkritik parti pembangkang PAS sebagai ‘penyeleweng’.
“Amirudin Shari, wakil rakyat Batu Caves mendakwa ‘peserta diindoktrinasi dengan propaganda ketuanan Melayu dan ancaman luar’. Seorang lagi peserta mendakwa beliau diajar yang Cina adalah ‘Yahudi di Asia’ dan sebahagian konspirasi untuk menggulingkan kerajaan.”
Kua berkata, dalam pertikaian antara pengkritik dan penyokong BTN, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mencelah dan berkata:
“Jangan fikir orang luar tidak tahu sukatan berdasarkan patriotisme untuk orang Melayu…Mereka tahu sukatan itu, jadi siapa kita untuk mengatakan ia tidak berlaku? Anda mahu bohong? Anda hanya jadi bahan ketawa.
“Ada orang yang menghadiri kursus itu sangat marah. Ada banyak contoh penggunaan perkataan seperti ketuanan Melayu. Ini tidak masuk akal…Adakah mereka mahu katakan Malaysia hanya milik orang Melayu dan kerajaan hanyalah kerajaan Melayu? Adakah hanya Melayu patut dipupuk semangat patriotisme? Kaum lain tidak patriotik terhadap negara mereka?”