
Azmin dilihat memasuki istana kira-kira 11.50 pagi, difahamkan bagi membincangkan kedudukannya sebagai menteri besar, susulan penamaannya sebagai menteri hal ehwal ekonomi yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Jumaat lalu.
Semalam, Azmin yang juga timbalan presiden PKR menemui Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya bagi membincangkan jawatan Kabinetnya.
Istiadat angkat sumpah jawatan untuk menteri persekutuan dijadualkan berlangsung di Istana Negara, pagi esok.
Azmin yang juga adun Bukit Antarabangsa dilantik sebagai menteri besar Selangor selepas Pakatan Harapan berjaya mempertahankan negeri ini pada pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lepas.
Dua wakil rakyat Selangor disebut-sebut bakal menggantikannya, iaitu Adun Sungai Tua, Amiruddin Shari dan Adun Seri Setia, Dr Shaharuddin Badaruddin.
Sehingga 1.15 tengah hari berdasarkan pemerhatian Bernama, Azmin masih berada di dalam istana.