
Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, hari ini adalah hari pertamanya di Kementerian Pertahanan dan beliau masih dalam proses memahami protokol dalam ketenteraan.
“Saya memohon maaf atas kekhilafan kerana tidak berhenti memberikan penghormatan kepada Panji-panji Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja sewaktu pemeriksaan perbarisan kawalan kehormatan utama di Kementerian Pertahanan pagi tadi.
“Saya sedia maklum berkenaan perkara tersebut seperti yang ditaklimatkan kepada saya, namun sebagai manusia biasa, kita juga tidak lari daripada melakukan kesilapan,” katanya dalam satu kenyataan tengah hari ini.
Terdahulu, beliau dalam sidang media pertamanya di Kementerian Pertahanan mengakui sedikit gementar pada hari pertama bertugas kerana perlu mematuhi peraturan dan protokol tertentu.
“Saya selalu hidup bersama rakyat, tetapi sekarang ini perlu ikut protokol. Ini adalah sesuatu yang baru, saya perlu membiasakan diri dengan perubahan, tetapi saya tidak akan ubah gaya Mat Sabu,” katanya.
Sementara itu, presiden Amanah itu juga berjanji akan memberikan perkhidmatan terbaik sebagai menteri di kementerian berkenaan dan Angkatan Tentera Malaysia.
“Insya Allah, saya akan cuba melakukan yang terbaik demi Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia secara keseluruhannya.”