Nancy bersimpati nasib kakitangan SPAD

Nancy bersimpati nasib kakitangan SPAD

Bekas menteri di JPM itu percaya kerajaan baru akan melakukan yang terbaik untuk kakitangan SPAD.

Free Malaysia Today
Datuk Seri Nancy Shukri, (Gambar twitter)
PETALING JAYA:
Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri bersimpati dengan nasib kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang diumum bubar hari ini, ketika rakyat sedang menjalani ibadah puasa dan menanti hari raya Aidilfitri.

“Saya bersimpati dengan kakitangan SPAD apabila mendengar pengumuman SPAD akan dibubarkan oleh kerajaan. Saya berterima kasih kepada semua kakitangan yang telah bekerja dengan penuh dedikasi dan komitmen yang tinggi.

“Saya percaya kerajaan baru akan melakukan yang terbaik untuk kakitangan seramai hampir 1,000 orang,” katanya kepada FMT.

Pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) semasa dalam kerajaan ke depan dalam inisiatif untuk mentransformasikan industri pengangkutan awam darat terutama teksi selepas dilantik sebagai menteri pada 2013.

Pembubaran SPAD diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada satu sidang media hari ini kerana pertindihan tugas. SPAD yang merancang, menyelia dan menguatkuasakan semua perkara berkaitan pengangkutan awam darat di Malaysia Barat berdasarkan kuasa yang diberikan Akta Pengangkutan Awam Darat ditubuhkan perdana menteri terdahulu, Datuk Seri Najib Razak pada 2010.

Fungsi SPAD dikembalikan kepada Kementerian Pengangkutan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.