
Setiap hari, semakin ramai orang berusaha untuk meningkatkan taraf hidup mereka dalam pelbagai aspek termasuklah kesihatan.
Setiap orang ingin memiliki tubuh badan yang sihat dan ideal dan yoga menjadi salah satu pilihan senaman yang popular dari setiap golongan umur.
Namun begitu, terdapat beberapa kemusykilan yang sering dipertikaikan mengenai yoga, atau lebih dikenali sebagai mitos.
Mitos tersebut menjadi penghalang untuk kita mendalami serta menghargai kebaikan dan manfaat yoga yang tidak ternilai itu.
Yoga membantu kita mengenali diri secara lebih baik serta mengeksploitasi potensi yang kita miliki dengan lebih mendalam selain lebih berdisiplin.
Mitos 1: Yoga merupakan ajaran Hindu
Salah satu mitos mengenai yoga adalah, yoga merupakan ajaran agama Hindu. Ini menyebabkan kekeliruan dan kebimbangan bagi sesetengah pihak untuk berlatih yoga. Meskipun asal yoga adalah dari India, tetapi ia bukanlah agama, ajaran sesat ataupun suatu kepercayaan. Yoga adalah gaya hidup yang memberikan ketenangan serta mengimbangkan jiwa, fikiran dan tubuh.
Malahan, amalan pemakanan vegetarian dalam yoga juga tiada kaitan dengan agama Hindu. Sebaliknya ia pilihan setiap pengamal yoga atas dasar kesihatan. Jika terserempak dengan amalan yoga yang mengadaptasi pembacaan mantera dan anda tidak selesa, anda mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat anda. Lagipun kebanyakan mantera bukan doa, sebaliknya frasa berbentuk penghargaan dalam bahasa Sanskrit.

Mitos 2: Yoga untuk orang muda sahaja
Sebenarnya, yoga tidak ada sebarang larangan yang mengehadkan sesiapa daripada mencubanya. Amalan ini boleh dilakukan oleh semua orang sama termasuk kanak- kanak, remaja, dewasa ataupun tua.
Melalui yoga, kanak- kanak dapat meningkatkan daya tumpuan dan kecergasan minda sekali gus membantu mereka mencapai keputusan cemerlang dalam pembelajaran.
Malah, dengan melibatkan diri dalam yoga, remaja dan dewasa dapat mengelakkan diri daripada pengaruh- pengaruh negatif dan kegiatan jenayah yang tahapnya semakin meningkat.
Ini kerana yoga membolehkan seseorang bertenang dan mengawal emosi pada bila-bila masa sahaja. Apabila emosi terkawal, maka kebanyakan isu boleh diselesaikan dengan mudah.
Bukan itu sahaja, yoga juga membantu meredakan tahap stress yang semakin tinggi terutamanya di tempat kerja dan pusat pengajian dengan mengurangkan kemurungan dan gangguan mental.
Yoga turut mengurangkan masalah kesihatan dalam kalangan warga tua menerusi amalan senaman dan pernafasan. Pergerakan ringan dan berirama dengan pernafasan untuk golongan warga emas banyak membantu mereka.

Mitos 3: Yoga untuk tubuh badan yang langsing dan fleksibel
Ramai menganggap postur yoga (asana) hanya boleh dicapai oleh orang yang fleksibel. Setiap orang mempunyai tubuh badan yang berbeza dari segi saiz dan bentuk. Yoga hanya memerlukan pemikiran yang positif dan latihan yang konsisten untuk mencapai dan menguasai postur- postur tertentu.
Apabila kita berlatih yoga setiap hari, otot-otot akan menjadi lebih fleksibel dan kekuatan akan bertambah. Ini akan mengurangkan risiko kecederaan semasa melakukan yoga. Malah, kita juga akan dapat mengenali potensi dan kebolehan diri kita yang terpendam.

Mitos 4: Yoga untuk wanita sahaja
Yoga juga diinterpretasikan sebagai satu amalan yang hanya berkaitan dengan kaum wanita. Ini kerana kelas-kelas yoga diajar serta dihadiri oleh majoriti kaum wanita. Namun faktanya, yoga lebih banyak diamalkan kaum lelaki pada zaman dahulu.
Terdapat sumber- sumber yang menyatakan guru yoga tersohor India, diminta mengajar seorang pelakon Rusia, Eugenie Peterson atas permintaan seorang maharaja. Beliau enggan mengajarnya kerana Eugenie merupakan seorang wanita dan berasal dari negara barat. Tahap disiplin yang amat tinggi, latihan jangka masa yang lama dan setiap cabaran telah diharungi oleh Eugenie bagi membuktikan keazamannya dalam yoga.
Beliau telah mula menyebarkan yoga di negara- negara barat dan begitulah populasi kaum wanita melibatkan diri dalam yoga mula berleluasa.

Mitos 5: Anda kena ada studio dan peralatan lengkap untuk ber’yoga’
Kebanyakan amalan latihan senaman dilakukan di bilik atau studio yang lengkap dengan pelbagai peralatan bantuan dan aksesori senam. Namun, itu bukan bagi yoga, anda tidak perlukan semua itu.
Bayangkan pada zaman dahulu, ia dilakukan di mana-mana sahaja, pusat beribadah, padang, rumah malah di hutan.
Kini, anda boleh berlatih di mana-mana ruang di rumah, pejabat, sambil duduk atau berdiri atau kawasan yang sesuai dan tanpa apa-apa aksesori tambahan. Alas yoga (yoga mat) adalah pilihan yang paling minimal bagi seseorang, itupun bagi mengelak kecederaan.
Jadi anda hanya perlukan seorang guru yang berwibawa mengajar amalan ini, itu sahaja!
Maka, jelaslah yoga merupakan satu gaya hidup yang perlu diamalkan oleh semua lapisan masyarakat kerana faedahnya kepada semua orang. Setiap postur mempunyai kebaikan tertentu dan memberikan pelbagai faedah dalam keseluruhannya. Yoga juga membolehkan kita mempunyai kawalan minda dan pernafasan yang baik di mana kita menjadi lebih peka terhadap persekitaran dan juga mengenali kebolehan diri kita tersendiri.
Artikel ini disumbangkan oleh Sakthi School Of Yoga (SSOY) yang berpusat di Kajang, Selangor.
Facebook: Sakthi School of Yoga
Laman web: Sakthi School of Yoga
PENAFIAN: Maklumat artikel ini tidak sama sekali menggantikan nasihat pakar perubatan. Anda digalakkan mengesahkan setiap maklumat yang dikongsi dengan sumber lain. Bagi nasihat berkaitan kesihatan, anda masih diperlukan mendapatkan nasihat doktor.
Amaran: Jangan sesekali tidak menghiraukan atau membelakangkan nasihat doktor profesional atau pakar hanya kerana maklumat yang dibaca di sini. FMT tidak bertanggungjawab dan tidak boleh dikaitkan dengan sebarang kerosakan disebabkan maklumat artikel ini.