
Seorang lelaki muda mengambil inisiatif menyumbangkan wang tunai RM100 sebagai bantuan dari pihaknya untuk membantu memulih hutang negara yang dikhabar mencecah RM1 trilion.
Sabahbathi Rajalinggam, dari Kampung Asahan, Bestari Jaya berkata dia mengambil keputusan itu selepas mendengar pendedahan yang dibuat baru-baru ini berkenaan hutang negara selain mahu membantu kerajaan baru dalam membentuk Malaysia lebih baik.
“Saya fikir ini masanya untuk pulihkan ekonomi supaya kita dapat merasai hasilnya secepat mungkin. Saya mahu negara kita cepat kembali ke era ‘gemilang’,” katanya kepada FMT Ohsem.
Namun, lelaki yang berusia 29 tahun itu tidak pasti jika wang dan surat yang dihantar itu sampai ke pihak yang sepatutnya.
“Pada awalnya saya ke Bank Negara Malaysia (BNM). Di sana saya diberitahu mereka tidak mempunyai hak terhadap wang tersebut. Jadi mereka arahkan saya ke Putrajaya.

“Kemudian saya melawat 3 kementerian di Putrajaya tetapi semuanya tutup sementara. Polis di Kementerian Kewangan arahkan saya ke Yayasan Kepimpinan Perdana di mana saya serahkan surat yang disertakan 2 keping not RM50,” ujarnya mengenang kejadian pada awal minggu lalu.
Walaupun tidak pasti apa yang dilakukannya itu betul atau salah, boleh dikenakan tindakan atau tidak, Sabahbathi berharap, lebih ramai rakyat yang akan tampil membantu untuk memulihkan negara ini.

“Apa yang saya buat ini salah ke? Saya kongsi pun kerana mahu lebih ramai orang turut menyumbang, selamatkan negara, itu sahaja. Saya ambil cuti pada hari tersebut dan lakukan semua ini,” katanya yang bertugas sebagai pemandu di sebuah syarikat swasta.
“Sumbangan ini hanya 5% daripada gaji saya. Saya tak hilang apa-apa, yang penting negara kita pulih,” tambahnya menyudahi perbualan.