
Tradisi tembakan satu bedil sebagai isyarat istimewa masuk waktu berbuka puasa dan bersahur yang biasa bagi penduduk sekitar Kuala Terengganu sepanjang Ramadan kini turut diamalkan di daerah Dungun.
Bermula 1 Ramadan lepas, Majlis Perbandaran Dungun mengambil inisiatif untuk turut memperkenalkan tradisi ini bagi penduduk di daerah berkenaan.
Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Osman Bakar, selain waktu berbuka puasa sepanjang Ramadan, tembakan bedil juga dibunyikan sebanyak 7 kali sebaik sahaja selepas pengumuman hari berpuasa dan 7 kali lagi pada malam menjelang Syawal nanti.
“Tembakan bedil yang menggunakan bola bunga api bersaiz 6 inci ini boleh didengar oleh penduduk setempat dalam lingkungan sehingga 7 kilometer dari lokasi pelepasan bedil di Arena Square.
“Sebaik tembakan bedil dilepaskan, orang ramai juga boleh menyaksikan percikan bunga api yang cantik setinggi 200 meter di Arena Square,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Tarikan ke bazar berbuka
Tembakan bedil itu yang mula diperkenalkan pada tahun ini juga bertujuan menarik orang ramai supaya berkunjung dan berbuka puasa di bazar baru Arena Square.
“Dengan adanya pembaharuan ini, orang ramai yang berbuka puasa di Arena Square dapat menyaksikan sendiri tembakan bedil dan percikan bunga api, sekaligus menjadikan pengalaman berbuka puasa di sini suatu pengalaman indah sepanjang Ramadan,” kata Osman.
Tinjauan Bernama mendapati orang ramai yang berada di sekitar Arena Square begitu teruja untuk melihat sendiri proses tembakan bedil itu dilakukan dengan merakam video sebagai kenang-kenangan.
Kakitangan swasta, Syafiqah Hanafi, 28, berkata beliau datang ke Arena Square membawa 3 adiknya untuk merasakan sendiri pengalaman berbuka puasa di dataran itu sambil menyaksikan percikan bunga api.
“Biasanya kalau datang berbuka di Kuala Terengganu kami tidak ketinggalan merakam percikan bunga api hasil tembakan bedil dari Bukit Pak Apil sambil berbuka puasa di sekitar pusat bandaraya.
“Bila dapat tahu di Dungun pun ada tembakan bedil, adik-adik minta saya bawa mereka ke sini untuk lihat pula bunga api di sini dan mendengar sendiri dentuman bunyi tembakan bedil. Lagi pun ini akan menjadi kenangan Ramadan mereka ketika waktu kecil di Dungun. Kami tidak mahu ketinggalan untuk turut menyaksikannya,” kata Syafiqah.

Jumlah pengunjung meningkat
Sarah Hanim Mamat, 34, yang berniaga di dataran berkenaan memberitahu Bernama, sejak tembakan bedil itu mula dilaksanakan pada 1 Ramadan lepas, bilangan pengunjung ke bazar Arena Square juga meningkat.
“Sekitar pukul 6.15 petang orang sudah mula berkumpul di Arena Square ini bersama keluarga dan kawan untuk berbuka puasa beramai-ramai. Ada yang datang bawa bekal makanan dari rumah.
“Ramai juga yang membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan ini. Dengan adanya tembakan bedil ini memang dapat menarik kedatangan orang ramai ke sini dan turut membantu melariskan perniagaan kami sepanjang bulan puasa ni,” katanya yang berniaga kuih-muih tradisional Terengganu sejak 7 tahun lepas.