Cepatnya ekonomi gagal jadi kuat, Najib bidas Guan Eng

Cepatnya ekonomi gagal jadi kuat, Najib bidas Guan Eng

Najib hairan ekonomi negara bertukar dari gagal kepada kuat dalam masa 2 minggu.

PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak membidas Menteri Kewangan Lim Guan Eng berhubung keadaan ekonomi negara yang diisytiharkan sebagai kuat dan kukuh selepas memenangi pilihan raya 9 Mei lepas.

Najib merujuk kepada laporan akhbar The Star, di mana menteri kewangan kerajaan Pakatan Harapan berkata ekonomi negara masih kukuh dengan asas yang kuat walaupun keadaan fiskal perlu diperbaiki.

Lim dilapor berkata di sektor kewangan, pemodalan adalah tinggi, pinjaman tidak berbayar adalah rendah dan kecairan di pasaran modal adalah tinggi, serta yakin negara akan lebih kuat selepas keadaan fiskal diperbaiki.

“Saya hairan betapa cepatnya ekonomi negara bertukar dari kononnya dalam keadaan krisis dan gagal sebelum PRU14 kepada ekonomi yang kuat dan kukuh. Cuma 2 minggu lebih sahaja?” kata Najib di Twitter.

Lim bercakap kepada pemberita pada Jumaat selepas pengumuman tentang hutang dan liabiliti negara mencecah RM1 trilion dikatakan membawa kepada kejatuhan di Bursa Malaysia minggu ini.

Beliau berkata mulai sekarang pentadbiran Pakatan Harapan mahu berterus-terang kepada rakyat dan pasaran saham tentang keadaan ekonomi sebenar.

Pimpinan Pakatan Harapan sebelum membentuk kerajaan persekutuan dilapor berkata keadaan ekonomi negara bawah pentadbiran Barisan Nasional berdepan risiko muflis kerana rasuah atau dibimbangi akan terjerumus ke dalam keadaan muflis kerana hutang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.