Semua konsesi balak di Sabah dikaji semula, kata Shafie

Semua konsesi balak di Sabah dikaji semula, kata Shafie

Ketua Menteri Sabah itu berkata kawasan konsesi yang akan dinilai semula termasuklah kawasan pembalakan di bawah Unit Pengurusan Hutan.

Free Malaysia Today
Datuk Seri Shafie Apdal berkata sekiranya kawasan konsesi didapati mengikut peraturan, tiada masalah untuk teruskan pelaksanaannya.
KOTA KINABALU:
Kerajaan Sabah akan mengkaji semula semua konsesi pembalakan di negeri itu bagi membolehkannya mengambil langkah tertentu untuk menangani pelbagai isu berkaitan kawasan konsesi berkenaan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie berkata kawasan konsesi yang akan dinilai semula termasuklah kawasan pembalakan di bawah Unit Pengurusan Hutan (FMU).

“Semua konsesi termasuk FMU, kita akan kaji semula kerana banyak isu berbangkit seperti kes kematian gajah yang mungkin ada kaitan secara langsung dengan pemegang konsesi, atau penebangan kayu-kayan di kawasan tadahan air.

“Sekiranya kita dapati kawasan-kawasan konsesi ini mengikut peraturan, tiada masalah bagi kita untuk teruskan pelaksanaannya. Kalau wujud perkara tidak sihat, kita akan ambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang yang ada,” katanya.

Mohd Shafie berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat Kabinet Sabah hari ini. Turut hadir ialah 2 timbalannnya iaitu Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Christina Liew.

Katanya Jabatan Perhutanan Sabah akan memberi taklimat kepadanya mengenai kawasan-kawasan konsesi berkenaan pada minggu hadapan termasuk kawasan sensitif dan yang digazetkan sebagai kawasan pembalakan namun menimbulkan kebimbangan mengenai kesannya.

Katanya walaupun mungkin kawasan konsesi pembalakan berkenaan merupakan penyumbang kepada hasil negeri namun ia tidak boleh dibenarkan jika menimbulkan masalah alam sekitar kepada negeri Sabah.

Mengenai pengharaman sementara pengeksportan balak dari Sabah, Mohd Shafie berkata balak Sabah boleh dijual untuk pasaran domestik bagi memenuhi permintaan industri kayu-kayan tempatan seperti perabot.

Katanya perkembangan industri kayu-kayan tempatan akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

“Saya yakin kalau kita dapat bangunkan industri hiliran kayu-kayan ini, mungkin tidak banyak hasil diperoleh kerajaan negeri tetapi banyak hasil diperoleh rakyat di peringkat akar umbi… saya mahukan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah, bukan royalti (balak) untuk Sabah. Tidak ada gunanya kita kaya dengan duit tetapi rakyat kita tiada kerja,” katanya.

Mohd Shafie juga yakin pengharaman sementara eksport balak berkenaan juga tidak akan menjejaskan pendapatan Sabah dan banyak negara seperti Indonesia mengambil langkah sama dan langkah itu tidak menjejaskan pendapatan negara tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.