Angkat sumpah MB Selangor baru 19 Jun

Angkat sumpah MB Selangor baru 19 Jun

Azmin Ali akan turut melepaskan jawatannya sebagai MB pada tarikh sama yang sama.

Free Malaysia Today
Antara yang disebut sebagai bakal MB Selangor ialah Shaharuddin Badaruddin, Amirudin Shari, Mat Shuhaimi Shafiei, Dr Idris Ahmad dan Mohd Khairuddin Othman. (Gambar Facebook)
SHAH ALAM:
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan mengadakan Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu selepas Hari Raya Aidilfitri iaitu pada 19 Jun depan.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani berkata istiadat itu akan diadakan di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.

“Sehubungan dengan istiadat pelantikan yang bakal berlangsung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan turut melepaskan jawatan sebagai menteri besar Selangor berkuat kuasa pada tarikh sama (19 Jun),” katanya dalam satu kenyataaan.

Selangor bakal mendapat menteri besar baharu selepas Azmin yang dilantik untuk penggal ke-2 sebelum ini menyertai kerajaan Persekutuan sebagai menteri hal ehwal ekonomi.

Azmin, 54, yang juga timbalan presiden PKR mengangkat sumpah pertama kali sebagai menteri besar pada 23 September 2014.

Antara wakil rakyat Selangor yang disebut-sebut bakal menggantikan Azmin ialah Adun Seri Setia Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, Adun Sungai Tua Amirudin Shari, Adun Sungai Kandis Mat Shuhaimi Shafiei, Adun Ijok Dr Idris Ahmad dan Adun Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.