Anita Sarawak dirawat di hospital akibat kanser?

Anita Sarawak dirawat di hospital akibat kanser?

Kak Nita dikatakan sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur dan rakan artis yang menziarahinya mengunci mulut atas permintaan beliau.

Mungkin ramai daripada kita tidak dapat melupakan kelibat penyanyi dan penghibur terkemuka negara, Anita Sarawak.

Setelah hampir 7 tahun menghilangkan diri, beliau dikatakan ditemui di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur, sedang mendapatkan rawatan bagi penyakit kanser.

Penyanyi “Seksis” berusia 66 tahun itu ditemui kali terakhir pada pertengahan 2011 dan kemudian dikatakan berpindah ke Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat di mana beliau dan suaminya, Mahathir Abdullah memiliki sebuah rumah di sana.

Namun, kisah di sebalik kehilangan Anita atau lebih mesra dengan panggilan Kak Nita muncul dalam pelbagai versi sehinggalah berita beliau membina kediaman baharu dan menetap di Perancis.

Terbaru, Kak Nita dikatakan kembali ke Singapura dan seorang peminat terserempak dengan beliau di sebuah restoran makanan segera di Ang Mo Kio.

Menurut laporan BH Online, peminat itu akui menemui Kak Nita dengan seorang lelaki kulit putih dipercayai suami beliau.

“Saya pasti ia adalah Kak Nita berpandu pada suara dan bibirnya. Tetapi wajahnya lebih cengkung dan rambutnya tidak berwarna.

“Beliau kelihatan amat berbeza seperti orang sakit. Saya melihat dia makan ubat.

“Saya duduk hanya jarak 2 meja daripada beliau. Saya percaya, itulah Kak Nita kerana saya duduk bertentang dengannya,” kata peminat itu, lapor BH Online.

Tahun lalu sekeping dokumen menunjukkan jual beli kediaman yang didakwa miliknya tersebar di internet.

Pasangan itu dikatakan menjual kediaman di Spring Valley, Las Vegas, dengan harga kira-kira RM1.4 juta kepada Roselinda Cohen dan Lawrence Cohen, pada 31 Julai 2017.

Mereka kemudiannya didapati membeli kediaman baharu dengan harga RM1.3 juta berdekatan Las Vegas Strip pada 4 Oktober tahun sama.

Semua ini sekaligus menempis khabar angin Kak Nita merajuk atau bercerai, malah khabar terbaharu mengesahkan beliau sedang mendapatkan rawatan penyakit kanser di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Malah rakan artis beliau juga dikatakan menziarahinya namun tidak diizinkan membuka mulut atas permintaan beliau sendiri.

Apapun situasi yang dihadapi Kak Nita buat masa ini, FMT Ohsem mendoakan yang terbaik dan berharap beliau cepat sembuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.