Azmin belum serah nama pengganti kepada Sultan Selangor

Azmin keluar dari Istana Bukit Kayangan selepas menghadap Sultan Selangor kira-kira 2 jam hari ini.

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali belum menghantar nama penggantinya kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Katanya, perbincangan dengan Sultan Selangor hari ini hanya tertumpu kepada soal pembangunan dan pentadbiran kerajaan negeri.

“Nama-nama itu akan dikemukakan dalam masa terdekat dan tuanku telah berkenan untuk majlis angkat sumpah pada 19 haribulan (ini),” katanya di luar Istana Bukit Kayangan selepas menghadap Sultan Sharafuddin kira-kira 2 jam hari ini.

Azmin, 54, mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor penggal ke-2 di depan Sultan Selangor pada 11 Mei lalu, sebelum Sultan Selangor memberi perkenan kepadanya untuk memegang jawatan menteri hal ehwal ekonomi, 10 hari kemudian.

Pada 30 Mei lalu, Sultan Sharafuddin memberi perkenan mengadakan Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu selepas sambutan Aidilfitri pada 19 Jun ini.

Azmin berkata, perbincangannya dengan Sultan Sharafuddin hari ini turut menumpukan pembangunan rakyat di Selangor.

“Supaya wujud kelangsungan dalam pelaksanaan dasar-dasar kerajaan negeri yang akan diambil alih oleh menteri besar yang baru.”

Mengenai pertemuan Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara malam tadi, Azmin berkata, beliau tidak tahu butirannya.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan menemui Anwar hari ini dan mendapatkan maklumat mengenai pertemuan itu.