‘Dr M macam ayah’, kata bekas MB Pahang

‘Dr M macam ayah’, kata bekas MB Pahang

Adnan Yaakob yakin kerajaan pusat pimpinan Dr Mahathir akan bantu Pahang sepertimana amalan kerajaan sebelum ini.

Free Malaysia Today
Adnan Yaakob berkata kerja keras dan mudah mendekati rakyat antara kunci kejayaan BN kekal di Pahang. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan Pahang yakin kerajaan pusat pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad akan bertindak adil terhadap negeri itu meskipun wujud perbezaan politik.

Bekas menteri besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, konsep itu selaras sepertimana amalan kerajaan sebelum ini.

“Kita percaya Perdana Menteri Tun Mahathir bukan orang baru, beliau orang lama. Dia macam ayah kita, kalau saya dengan Tun M macam ayah.

“Masa kita menjadi kerajaan Persekutuan kita bantu juga Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. Pakatan Harapan ini kerajaan persekutuan pilihan rakyat, begitu juga kita di Pahang, jadi tak ada sebab kita nak gaduh,” katanya dalam sidang media di Hotel Pasifik hari ini.

Adnan dedah punca BN kekal di Pahang

Adnan yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang berkata, pendekatan yang diambil oleh Adun dan ahli parlimen BN negeri itu membolehkan Pahang terselamat dari tsunami politik pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Katanya, kerja keras dan mudah mendekati rakyat antara kunci kejayaan BN kekal di negeri itu.

“Kenapa kita menang (di Pahang) bukan kita takbur, Pahang ini ahli parlimen dan Adun semua bekerja kuat, pergi jumpa orang boleh bantu kita bantu, dan kalau boleh tolong kita tolong.

“Itu sebab kita menang, bukan dabik dada dalam keadaan tsunami itu. Alhamdullillah, Allah bagi Pahang bertahan bukan senang,” kata pengerusi perhubungan Umno Pahang .

Jelasnya lagi, yang menjadi masalahnya apabila pemimpin menjauhkan diri daripada rakyat.

“Masalah kita, bila kita menjauhkan diri daripada akar umbi. Apabila pemimpin Umno di semua peringkat menjauhkan diri seolah dia golongan elit, sebab itu kita kalah,” katanya.

Keputusan PRU14 menyaksikan BN kekal memerintah Pahang selepas meraih majoriti mudah apabila memenangi 25 daripada 42 kerusi DUN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.