Laporan: Pihak yang menang dan kalah dalam pembatalan HSR

Laporan: Pihak yang menang dan kalah dalam pembatalan HSR

Menurt laporan, keputusan kerajaan baru untuk membatalkan projek HSR akan memanfaatkan syarikat penerbangan, tetapi kerugian buat syarikat infrastruktur terbabit.

Free Malaysia Today
Projek HSR bernilai RM110 bilion dibatalkan kerajaan kerana kosnya terlalu tinggi dan manfaat tidak banyak. (Gambar Bernama).
KUALA LUMPUR:
Beberapa syarikat terkemuka Malaysia yang terbabit dalam kerja infrastruktur terjejas akibat pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), walaupun syarikat penerbangan dan industri perkhidmatan berkaitan akan mendapat manfaat daripadanya, menurut laporan CNBC.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mengumumkan projek HSR sepanjang 350km yang bernilai RM110 bilion dibatalkan kerana ia terlalu mahal dan manfaat terlalu sedikit. Projek itu dijadualkan siap pada 2016.

CNBC berkata, antara syarikat yang mungkin mengalami kerugian ialah Gamuda Bhd serta syarikat hartanah dan infrastruktur, Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB), yang dilantik sebagai rakan kongsi pelaksana projek infrastruktur awam untuk bahagian utara projek itu, manakala YTL di bahagian selatan.

Syarikat itu berkata, dalam pemfailan Bursa Malaysia minggu lalu, mereka menerima notis pembatalan itu dan semua rundingan digantung.

Terdahulu dilaporkan konsortium MRCB–Gamuda Bhd (Konsortium MRCB Gamuda) dan konsortium Syarikat Pembenaan Yeoh Tiong Lay Sdn Bhd–TH Properties Sdn Bhd (YTL-THP) dilantik sebagai rakan kongsi pelaksana projek untuk bahagian kerja awam.

CNBC melaporkan syarikat rel utama yang bersaing untuk membina, mengendalikan dan membiayai projek itu – termasuk syarikat besar dari China dan Jepun – juga akan kecewa.

Bagaimanapun, ia memetik Corrine Png, ketua eksekutif Crucial Perspectives sebagai berkata, pembatalan itu ialah berita baik buat syarikat penerbangan.

“Pelabur meramalkan (sesetengah syarikat penerbangan akan) kehilangan banyak penumpang kepada kereta api apabila ini berlaku kerana untuk penerbangan jarak pendek, dari segi ekonomi, lebih masuk akal untuk penumpang beralih kepada kereta api.”

Mereka yang dijangka mendapat manfaat termasuk Jetstar Asia, yang mempunyai 10% daripada trafiknya dari laluan Kuala Lumpur-Singapura, AirAsia dan Singapore Airlines.

Selain syarikat penerbangan, Png berkata, industri berkaitan sektor itu seperti lapangan terbang dan penyedia perkhidmatan, termasuk syarikat pengendalian di darat SATs dan penyedia perkhidmatan penyelenggaraan pesawat, SIA Engineering dijangka mendapat manfaat.

Sementara itu, CNBC melaporkan kebimbangan berhubung pembangunan Daerah Tasik Jurong di Singapura – untuk mewujudkan daerah perniagaan utama ke-2 – akan terjejas teruk kerana sepatutnya terminal HSR dibina di sana, mungkin diperbesarkan.

Tay Huey Ying, ketua penyelidikan dan perundingan JLL Singapore memberitahu CNBC: “Kesan pengganda (mungkin disebabkan terminal Jurong Timur) akan datang hanya selepas permulaan (kereta api berkelajuan tinggi) yang pada asalnya dijadualkan pada 2026, impak ke atas perniagaan sedia ada dan pembangunan adalah minimum.”

Alice Tan, ketua perundingan dan penyelidikan di Knight Frank Singapura, menyifatkan projek itu “hanya bonus” untuk kawasan itu.

Katanya, “ada atau tanpa” terminal itu, “sudah ada banyak rancangan” untuk membangunkan daerah pusat perniagaan ke-2 itu.

Bagaimanapun, menurut laporan itu, Hotel Genting Jurong yang dibuka pada 2015 dan terletak dalam jarak berjalan kaki ke terminal kereta api berkelajuan tinggi Jurong Timor Singapura yang sepatutnya dibina, mungkin terjejas teruk.

CNBC memetik Alex Holmes, ahli ekonomi Asia di Capital Economics, dalam satu nota dihantar sebelum pembatalan HSR berkata: “Kedudukan fiskal lemah Malaysia dan beberapa projek dengan nilai ekonomi diragui, (membatalkan beberapa projek infrastruktur besar) mungkin bukan perkara buruk”.

Katanya, walaupun pertumbuhan pelaburan mungkin “jatuh mendadak” jika Malaysia mula membatalkan projek infrastruktur, pembatalan itu mungkin terbaik untuk kepentingan negara.

Malaysia, katanya, berisiko mengalami kemeruapan ekonomi disebabkan pertumbuhan kukuh dan projek infrastruktur boleh memburukkan kedudukan fiskal negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.