Dr M: Hukuman mati Sirul mungkin ditukar hukuman penjara

Dr Mahathir mengadakan sidang media selepas mempengerusi mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-rasuah di Perdana Putra hari ini.

PUTRAJAYA: Perdana menteri berkata, kerajaan mungkin meringankan hukuman mati ke atas bekas pegawai polis, Sirul Azhar Umar yang disabitkan bersalah membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia mungkin diganti dengan hukuman penjara supaya dia boleh diekstradisi ke Malaysia.

“Sirul tak boleh balik sebab Australia tidak benarkan seseorang yang dijatuhi hukuman mati pulang, ia undang-undang yang mereka guna.

“Kita mungkin akan batalkan hukuman gantung, tapi digantikan dengan hukuman penjara supaya beliau boleh kembali ke tanah air,” katanya sambil menambah usaha membawa Sirul pulang ke Malaysia akan terbantut jika hukuman mati dikekalkan.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-rasuah di Perdana Putra, hari ini.

Ditanya adakah Putrajaya akan membuka semula kertas siasatan ke atas pembunuhan Altantuya, Dr Mahathir berkata, pihaknya akan mengkaji kes itu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Kita akan lihat balik untuk mulakan semula kes Altantuya.”

Beliau turut menafikan laporan The Guardian yang Putrajaya sudah membuat permohonan untuk mengekstradisi Sirul.

“Kita tidak minta.”

Akhbar itu memetik beberapa sumber sebagai berkata, Australia menerima permohonan Malaysia untuk mengekstradisi Sirul selepas Putrajaya bersetuju membayar kos berkaitan dan dia dijangka meninggalkan negara itu dalam masa sebulan.

Pada April 2009, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati ke atas Sirul dan bekas ketua inspektor, Azilah Hadri kerana membunuh Altantuya, 28, di sebuah hutan di pinggir Kuala Lumpur pada Oktober 2006 dengan badannya diletup menggunakan bahan letupan gred tentera.

Mereka bagaimanapun dibebaskan Mahkamah Rayuan pada Ogos 2013, tetapi Mahkamah Persekutuan pada Januari 2015 mengembalikan sabitan bersalah itu dan menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka berdua.

Sirul melarikan diri ke Australia sebelum penghakiman Mahkamah Persekutuan dan ditahan di pusat tahanan imigresen Australia di Sydney sejak 3 tahun lalu, sementara Azilah menunggu hukuman mati di Penjara Kajang.

Dalam sidang media hari ini, Dr Mahathir turut menjawab soalan mengenai isu lain:

Pertemuan dengan bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

Beliau hendak bertemu saya dan berminat untuk menyokong kerajaan. Zahid dialu-alukan sokong atau bangkang kerajaan. Itu sahaja. Beliau hadir atas kapasiti pemangku presiden Umno.

Mengenai waran tangkap SPRM ke atas Low Taek Jho

Kita akan tangkap Jho Low, tetapi dia tidak ada di Malaysia. Dia ada di negara lain.

Alasan untuk tahan Jho Low

Untuk siasat pembabitannya dalam 1MDB.

Laporan: Australia sedia serah bekas polis Sirul Azhar