Jabatan Peguam Negara tangani isu syariah dengan bahagian khas

Jabatan Peguam Negara tangani isu syariah dengan bahagian khas

Selain itu, jabatan itu juga mempunyai Majlis Pakar (Pelbagai Disiplin) dikendalikan pakar hal ehwal undang-undang Syariah, Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman.

Free Malaysia Today
Jabatan Peguam Negara tangani isu syariah dengan bahagian khas.
KUALA LUMPUR:
Jabatan Peguam Negara sudah pun mempunyai Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang menangani isu berkaitan dengan undang-undang Syariah yang berbangkit di peringkat Persekutuan dan antarabangsa.

Selain itu, jabatan itu juga mempunyai Majlis Pakar (Pelbagai Disiplin) yang dikendalikan pakar hal ehwal undang-undang Syariah, Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman.

Menurut kenyataannya hari ini, berdasarkan struktur organisasi jabatan itu, Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang diletakkan di bawah penyeliaan Peguam Cara Negara.

“Jabatan ini mengambil maklum terdapat saranan supaya peguam negara melantik seorang pegawai daripada Jabatan Peguam Negara khusus bagi menyelia perkara dan isu-isu berhubung undang-undang Syariah.

“Di Jabatan Peguam Negara sememangnya sudah ada Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang yang berperanan, antara lain, menangani apa-apa perkara dan isu berkaitan dengan undang-undang syariah berbangkit di peringkat persekutuan dan antarabangsa,” kata jabatan itu.

Selain itu, peguam kanan Tommy Thomas, 66, dilantik sebagai peguam negara baru berkuat kuasa pada 4 Jun lalu bagi menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang ditamatkan perkhidmatannya.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan Thomas sebagai peguam negara atas nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengikut Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Thomas, yang berpengalaman selama 42 tahun sebagai peguam, memulakan tugasnya di jabatan itu pada hari Rabu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.