
Seorang pembaca FMT yang melawat rumah itu, yang dibuka untuk tatapan umum oleh Ketua Menteri Melaka baharu, Adly Zahari selepas pilihan raya 9 Mei lalu, berkata terdapat 15 bas persiaran ada di sana pagi ini.
“Terdapat lebih 100 orang di rumah itu hari ini. Daripada bunyi percakapan mereka, mereka seperti dari China, sementara yang lain didengari berbahasa Thai,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan Seri Bendahara akan dibuka kepada orang ramai selama sebulan dari 14 Mei.
Idea itu untuk menunjukkan kepada orang ramai keborosan pentadbiran sebelum ini. Kediaman itu antara lain mempunyai air pancut, penyaman udara berpusat, kolam renang dan garaj besar.

Adly mendakwa bil elektrik untuk Seri Bendahara berjumlah sehingga RM45,000 sebulan.
Adly berkata kerajaan mungkin akan menjadikan Seri Bendahara sebagai destinasi pelancongan, kerana ia menarik kira-kira 10,000 pelawat sejak ia dibuka kepada orang ramai.
Pesuruhjaya PAS Melaka Kamarudin Sidek baru-baru ini menggesa garis panduan tegas bagi pelawat ke Seri Bendahara berikutan aduan kerosakan kepada perabot dan kemudahan lain di kediaman itu disebabkan oleh pengunjung yang tidak bertanggungjawab.