Raya di India, peniaga mengeluh, pemilik restoran tak menang tangan

Raya di India, peniaga mengeluh, pemilik restoran tak menang tangan

Suasana sibuk jelas boleh dilihat sepanjang Ramadan di pasar Batla House dan pasar Zakir Nagar yang terletak bertentangan dengannya antara matahari terbenam dan tengah malam.

Kaum Adam juga mahu kelihatan tampan dan bergaya pada pagi raya dan di Malaysia, lazimnya Baju Melayu akan menjadi pilihan untuk lelaki Islam.

Bagaimana pula dengan kaum lelaki Islam di India? Meskipun pelbagai fesyen terdapat di pasaran, nampaknya mereka masih berpegang teguh kepada pilihan pakaian tradisional, kurta.

Tinjauan Bernama mendapati pakaian tradisional ini terus mendapat permintaan tinggi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, malah ia menjadi rebutan pada musim perayaan lain.

Kurta diletakkan di tempat paling atas dalam senarai membeli-belah untuk hari raya.

Fabrik yang menjadi pilihan untuk kurta ialah kain kapas atau linen dan memang terdapat pelbagai fesyen dalam pasaran untuk memenuhi permintaan pembeli.

Menurut Shanu Alvi yang menguruskan kaunter jualan di kedai pakaian popular di Delhi iaitu pasar Batla House, Ramadan adalah bulan paling sibuk bagi dirinya.

“Kebanyakan orang akan membeli berpasang-pasang pakaian untuk diri mereka juga untuk anggota keluarga dan sanak-saudara. Mesti nak belanja banyak kalau hari raya, “ katanya.

Suasana sibuk jelas boleh dilihat sepanjang Ramadan di pasar Batla House dan pasar Zakir Nagar yang terletak bertentangan dengannya antara matahari terbenam dan tengah malam.

Kawasan membeli-belah itu antara yang menjadi tumpuan di Delhi untuk mereka yang mahu mendapatkan barangan keperluan untuk sambutan hari raya. Deretan kedai sarat dengan kotak pelbagai jenis barangan seperti buah-buahan kering, makanan, tekstil dan pakaian serta barangan keperluan rumah.

Restoran dan kedai menjual makanan pula beroperasi sehingga awal pagi untuk menampung keperluan masyarakat Islam yang berpuasa dari terbit fajar hingga tenggelam matahari sepanjang Ramadan.

Kawasan membeli-belah itu juga menjadi tumpuan mereka dari tempat lain bukan sahaja untuk mendapatkan keperluan barangan dan berbuka puasa tetapi untuk melihat sendiri suasana meriah orang membeli-belah.

Meskipun kedai sesak, ini tidak bermakna peniaga membuat keuntungan kerana kebanyakan pekedai berkata jualan tahun ini tidak menggalakkan.

“Kos sara hidup semakin meningkat. Orang tak banyak berbelanja kali ini,” kata Waseem Qureshi yang membuka gerai menjual pinggan mangkuk melamin.

“Sekitar 70% yang anda lihat di pasar tak membeli apa-apa. Dulu angka itu tak lebih daripada 30%. Itu yang bezanya tahun ini,“ kata Qureshi.

Beberapa kedai daripada gerai beliau, penulis singgah berbual dengan Noor Mohammed yang menjual “vermicelli”, makanan popular pada bulan Ramadan. Beliau mengeluh panjang.

“Tengoklah sendiri tak ramai pelanggan. Bulan puasa hampir sampai ke penghujung dan barang jualan saya masih banyak, “ katanya.

Zubair Ahmed, penjual buah-buahan kering pula bimbang beliau tidak dapat menjual kesemua stok kurmanya sebelum cuti hari raya bermula.

Secara tradisinya kurma dimakan bersama juadah berbuka puasa dan kebanyakannya diimport dari Asia Barat.

Penulis diberitahu kebanyakan orang Islam membeli-belah bukan sahaja untuk kegunaan sendiri tetapi juga untuk kebajikan. Sumbangan makanan dikumpul untuk dihidangkan kepada golongan yang kurang berkemampuan untuk berbuka puasa.

Harga barangan pengguna yang meningkat di samping tekanan upah sedikit sebanyak memberi kesan kepada jumlah sumbangan yang diterima untuk tujuan ini.

Perbelanjaan untuk barangan bukan keperluan dikurangkan dan kesannya boleh dilihat di kedai menjual pakaian berfesyen dan barang kemas.

Bagaimanapun restoran tidak terjejas dengan keadaan ini dan sentiasa sibuk.

“Kami tak menang tangan sehingga kami tutup kedai pada pukul 3.00 pagi, “ kata Mahtab sambil memandang kepada pelanggan yang beratur di luar restorannya yang terkenal dengan hidangan “nihari” daging yang dimasak dengan kuah berempah yang pekat.

Zakir Nagar kini muncul sebagai hab untuk juadah Mughlai di Delhi dan kawasan ini semakin menjadi tarikan ramai sepanjang Ramadan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.