‘Team Pos-sible’ Pos Malaysia hantar barang guna kereta sendiri

‘Team Pos-sible’ Pos Malaysia hantar barang guna kereta sendiri

Pasukan Support Operation Pos Laju memilih untuk menghantar sendiri barangan sebelum cuti raya melibatkan semua kakitangan Pos Malaysia.

Rakyat Malaysia tak pernah ketinggalan menghargai jasa seseorang walaupun ia dilakukan di dalam kapasiti tanggungjawab tugasan mereka.

Tetapi apabila ada yang mengambil selangkah lebih dengan sanggup menunaikan amanat yang diberikan di luar kuasa kerja, maka ramai yang tampil menyambut mereka.

Demikian dilakukan oleh pasukan Support Operation Pos Laju apabila mereka memilih untuk menghantar sendiri barangan sebelum raya.

Dalam satu muat naik Facebook milik Ahmad Zulkarnain Abdullah, beliau menulis, “Harap-harap client tak terkejut kehadiran kami dengan pelbagai jenis kereta yang tidak berlabel Pos Malaysia. Kami pakai nametag Pos Malaysia.

“Seluruh warga Pos terlibat, tu namanya Team Pos-sible Can Make Dreams Work. Terima kasih En Ramli sebagai pairing yang hebat!”

Beliau turut berkongsi beberapa gambar menunjukkan pegawai pasukan Pos Malaysia yang menghantar courier berupa barangan kepada pelanggan menggunakan kenderaan mereka sendiri.

Selain di Facebook milik Ahmad, Pos Malaysia Berhad juga berkongsi status yang hampir sama menyatakan usaha mereka untuk memastikan barangan dihantar sebelum mereka pulang cuti berhari Raya.

“Jika maaf masih belum mencukupi, kami hulurkan tangan menunaikan janji. Sudilah terima kami seikhlas hati. Asalkan jangan sup bunjut menyihir kami. Nantikan kemunculan Team Pos-sible Pos Malaysia di tempat anda dengan memakai kad pekerja masing-masing bermula semalam dan hari ini,” tulis Pos Malaysia mengelarkan pasukan itu sebagai Team Pos-sible.

Menariknya kedua-dua kiriman ini menerima reaksi positif dalam kalangan netizen selain ada yang mengakui antara orang yang menerima barangan pos daripada pasukan Pos-sible Pos Malaysia.

Netizen yang lain pula memuji komitmen para petugas bukan sahaja pihak posmen malah pegawai pejabat yang turut turun padang menghantar barangan pos kepada penerima.

Namun, tidak ketinggalan juga bagi mereka yang menggunakan Facebook tersebut sebagai platform untuk menyampaikan rasa tidak puas hati terhadap perkhidmatan Pos Malaysia.

Apapun, mereka juga sedang mencuba sebaiknya dan rata-rata netizen menghargai usaha murni mereka. FMT Ohsem ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada team Pos-sible Pos Malaysia yang ohsem ini!

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.