
Shaariibuu Setev dalam nada seloroh berkata, kerajaan Pakatan Harapan sudah merampas wang bekas perdana menteri itu yang sepatutnya digunakan untuk membayar beliau dan keluarganya.
“Saya pernah dengar khabar angin seperti ini yang Najib sudah bayar saya wang, tetapi ia tidak benar,” katanya dalam sidang media sambil ditemani peguamnya, Ramkarpal Singh hari ini.
Ditanya jika ada cubaan daripada pihak Najib untuk memberi wang kepadanya, Setev berkata: “Ada orang mahu menjadi wira dan bercakap mengenainya, tetapi beliau bukan sesiapa.”
Ramkarpal berkata, mereka akan membincangkan kemungkinan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kes itu secara terperinci dalam pertemuan dengan peguam negara dan perdana menteri.
Setev akan menemui Tommy Thomas 3 petang ini dan Tun Dr Mahathir Mohamad 5 petang esok.
Ramkarpal berkata, RCI hanya boleh ditubuhkan selepas perdana menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk berbuat demikian.
Setev dan cucunya menyaman kerajaan Malaysia serta 3 tertuduh, Cif Inspektor Azilah Hadri, Koperal Sirul Azhar Umar dan Abdul Razak Baginda untuk ganti rugi RM100 juta atas kematian Altantuya yang dibunuh 2 anggota polis Malaysia antara 19 hingga 20 Oktober 2006.
Wanita berusia 28 tahun itu ditembak di kepala sebanyak 2 kali, sebelum mayatnya dililit bahan letupan gred tentera dan diletupkan di dalam hutan. Motif jenayah dan dalang pembunuhan itu sehingga kini tidak diketahui.
Azilah dan Sirul yang juga anggota Unit Tindakan Khas yang menyediakan khidmat pengawal peribadi kepada pemimpin tertinggi negara, disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.
Bagaimanapun, Sirul melarikan diri ke Australia sebelum mahkamah membuat keputusan terakhir dan kemudian ditahan di Sydney hampir 2 tahun.
Sementara itu, Setev berkata, dalang yang mengarahkan pembunuhan Altantuya lebih penting daripada Sirul.
“Saya tak mahu bercakap pasal Sirul dan juga penalti.
“Perkara paling penting ialah siapa yang arahkan pembunuhan itu, bukan Sirul,” katanya menjawab soalan jika beliau pernah cuba mengesan Sirul di Australia dan adakah adil hukuman mati terhadapnya dikurangkan.
Ramkarpal berkata, Sirul tidak diperlukan untuk membuka semula kes itu kerana polis mungkin sudah tahu siapa dalangnya dan tidak memerlukan masa lama untuk didedahkan.
“Sirul tidak penting dalam kes ini. Ada bukti lain. Ada saksi penting lain yang tidak dipanggil ketika perbicaraan kes itu (dahulu).”
Sementara itu, Setev berkata, Altantuya ialah pencari nafkah utama bagi mereka 7 sekeluarga, termasuk 2 anak lelakinya dengan seorang daripada kelainan upaya dan terlantar di katil.
“Saya rasa seperti kehilangan orang kanan saya.
“Saya amat berharap kerajaan baru akan melakukan semuanya di bawah kuasa mereka untuk memberi keadilan dan penutup kepada penderitaan dan kesedihan keluarga saya.”