Shahril Hamdan mendahului persaingan naib ketua Pemuda Umno

Shahril Hamdan mendahului persaingan kerusi naib ketua Pemuda.

KUALA LUMPUR: Calon reformasi Shahril Hamdan mendahului 8 pesaingnya untuk jawatan naib ketua Pemuda Umno, dalam pemilihan untuk jawatan-jawatan utama sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

Setakat tengah malam, Shahril, yang lantang bersuara susulan kekalahan partinya pada pilihan raya baru-baru ini, meraih 96 undi, diikuti pencabar terdekat Bastien Onn yang mendapat 18 undi.

Ketua Pemuda Umno Kuala Langat ini juga mengetuai penerangan Pemuda. Dia dan Bastian menganggotai Biro Profesional Pemuda Umno.

Calon lain ialah Zahrudin Yahya, Sharique Adam Das, Razali Tushan, Halim Sidek Hassan, Ridzuan Hashim Baki, Safhwan Matusin dan Fariz Hadi.

Sementara itu, bagi jawatan ketua Pemuda pula, bekas timbalan menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mendahului persaingan setakat tengah malam, diikuti rapat oleh Ketua Pemuda Umno Pahang, Mohd Shahar Abdullah dan bekas naib ketua Pemuda, Khairul Azwan Harun.

Shahril, 32, dalam satu temubual bersama FMT baru-baru ini berkata ahli Umno masih belum menerima hakikat rakyat sudah menolak parti itu.

Tetapi beliau berkata kekalahan itu bukan semata-mata masalah yang dikaitkan dengan bekas presiden, Datuk Seri Najib Razak.

Shahril antara lain menyeru Umno meninggalkan budaya “syok sendiri”.

Beliau berkata “hampir 80%” program Umno “buang duit, masa dan tenaga” dan hanya acara “syok sendiri”.