Kerajaan pertimbang mansuh hukuman mati, Sirul boleh pulang

Sirul Azhar Umar berada di Sydney selepas melarikan diri ke Australia pada 2015.

BANGI: Putrajaya mungkin akan memansuhkan hukuman mati untuk kesalahan jenayah, dan langkah itu akan menyebabkan pihak berkuasa Australia tiada pilihan selain menghantar pulang pembunuh, Sirul Azhar Umar, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Sebab itu kita berbincang sama ada perlu untuk kita ubah hukuman tersebut atau diganti dengan hukuman lain,” kata timbalan perdana menteri.

Sirul, yang disabitkan kesalahan membunuh seorang warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006, dikenakan hukuman mati bersama rakannya, Azilah Hadri.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati pada 2015 tetapi Sirul sempat melarikan diri ke Australia. Undang-undang negara itu tidak membenarkan kerajaan Australia menghantar Sirul pulang jika berdepan hukuman mati.

Altantuya dikaitkan dengan Abdul Razak Baginda, rakan kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Razak, yang dituduh mengatur sogokan untuk pembelian 2 kapal selam Perancis pada 2002, pada awalnya didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul dalam pembunuhan itu, tetapi dibebaskan Mahkamah Tinggi pada 2008. Pendakwa raya tidak merayu pembebasan itu.

Sementara itu, Wan Azizah berkata mesyuarat Kabinet yang lalu mengambil ketetapan meneruskan keputusan kerajaan sebelum ini menangguhkan hukuman mati terhadap 17 banduan berkaitan kes dadah.

“Dalam konteks lebih luas, kami turut menyentuh mengenai keperluan untuk melihat semula sama ada perkara sama juga boleh diambil terhadap pesalah dalam jenayah lain,” katanya kepada Bernama.