Suspek ke-3 direman 5 hari bantu siasatan solar di sekolah Sarawak

Suspek berumur 39 tahun ini merupakan individu ke-3 yang ditahan SPRM bagi membantu kes penyelewengan pemberian kontrak projek hibrid solar untuk 369 sekolah pedalaman di Sarawak. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Seorang pengarah sebuah syarikat yang berpangkalan di Bintulu direman 5 hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan pemberian kontrak projek hibrid solar untuk 369 sekolah pedalaman di Sarawak.

Majistret, Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah tahanan reman terhadap pengarah syarikat itu mulai hari ini hingga 3 Julai bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan.

Suspek berumur 39 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira 7.45 malam tadi selepas hadir memberi keterangan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 kerana meminta rasuah.

Pengarah syarikat yang berbaju lokap SPRM itu tiba di perkarangan mahkamah pada 9.20 pagi dengan tangan digari.

Suspek merupakan individu ke-3 yang ditahan SPRM. Dua hari lepas, seorang pengarah urusan dan peguam syarikat itu direman 6 hari bagi membantu siasatan.

Awal bulan ini, sebuah portal melaporkan kemungkinan wujud penyelewengan dalam pemberian kontrak projek hibrid solar bernilai RM2.5 bilion di Sarawak yang didakwa melalui penganugerahan kontrak secara terus di bawah arahan seorang bekas pemimpin tertinggi negara.

Pemimpin itu turut didakwa mengarahkan Kementerian Pendidikan pada Januari 2017 melantik sebuah syarikat perniagaan kereta sewa di Bintulu bagi projek hibrid solar untuk 369 sekolah pedalaman di Sarawak.

Pada 11 Jun lalu, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata Kementerian Pendidikan memulakan proses siasatan dalaman bagi mengenal pasti individu terlibat dalam isu penyelewengan pemberian kontrak membekalkan tenaga solar dan diesel ke 369 sekolah di Sarawak.

Terdapat 369 sekolah di negeri itu yang tidak mempunyai bekalan elektrik tetap dan hanya menggunakan genset diesel untuk menjana elektrik.

Sebelum 2017, diesel yang digunakan sekolah itu dibekalkan secara kontrak oleh beberapa kontraktor.

Bermula 1 Januari 2017, Jepak Holding Sdn Bhd yang asalnya satu daripada kontraktor terlibat, diberikan kontrak membekalkan elektrik kepada semua 369 sekolah itu selama 3 tahun sehingga 31 Disember 2019 dengan nilai “melebihi RM1 bilion” termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Selain membekalkan diesel di sekolah pedalaman Sarawak, syarikat itu turut memasang sistem hibrid solar dan penyelenggaraan generator di 369 sekolah pedalaman selama 3 tahun.