Adun Sungai Kandis meninggal dunia

Adun 3 penggal itu meninggal dunia lebih sebulan selepas dipilih semula dalam pilihan raya umum 9 Mei.

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sg Kandis, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, meninggal dunia pagi tadi.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di aplikasi Twitter beliau sebentar tadi.

“Saya amat sedih atas kehilangan seorang teman sejati dalam perjuangan. Semoga roh Allahyarham Shuhaimi Shafiei ditempatkan di syurga Allah,” tulis beliau.

Shuhaimi dilaporkan uzur dan tidak hadir ke majlis mengangkat sumpah jawatan wakit rakyat pada 26 Jun lepas. Adun 3 penggal itu meninggal dunia lebih sebulan selepas dipilih semula dalam pilihan raya umum 9 Mei.

Shuhaimi yang juga bekas setiausaha politik kepada bekas menteri besar Selangor Mohamed Azmin Ali menang dengan majoriti 12,480 undi dalam pertandingan 4 penjuru menentang calon BN, PAS dan PRM.

Beliau meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya pukul 11.10 pagi ini akibat kanser limfoma.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah berkata jenazah allahyarham akan diuruskan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, sejurus selepas selesai urusan di hospital.

“Jenazah kemudian akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini dijangka selepas solat Asar,” katanya dalam satu kenyataan.