Pegawai SB nafi siasat kes kehilangan Amri

KUALA LUMPUR: Pegawai Cawangan Khas (SB), Azam Azhari, menafikan dia terlibat dengan siasatan ke atas kehilangan Amri Che Mat, seperti yang didakwa isteri aktivis Perlis itu, Norhayati Ariffin.

Azam, yang berpindah ke Terengganu selepas bertugas di Perlis dari 2014 hingga 2017, juga menafikan mengenali pemilik kenderaan yang disyaki terlibat dalam kehilangan Amri, Saiful Bahari, dan juga Norhayati.

Beliau dipanggil memberi keterangan dalam inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini.

“Saya nafikan sekeras-kerasnya kenyataan dibuat,” katanya dan menambah dia tidak ikuti perkembangan kes Amri sebelum kehilangannya.

Menurut Azam, dia berada di pejabatnya dari jam 8.00 pagi sehingga 9.00 malam pada hari kejadian, 24 November 2016.

Sementara itu, Azam berkata dia tidak pernah bekerja dengan seorang lagi pegawai SB yang dipanggil dalam inkuiri ini, Sarjan Shamzaini Mohd Daud.

“Saya kenal Shamzaini, tak rapat dan beberapa kali jumpa boleh kira,” katanya.

Sebelum ini, Norhayati mendakwa Shamzaini pada 12 Mei lalu memberitahunya yang Amri diambil polis.

Ketua Polis Sentul, R Munusami pada 31 Mei lalu berkata Shamzaini dalam satu laporan polis menafikan memberi maklumat kehilangan Amri kepada Norhayati.