Akhirnya Najib dapat rasa apa saya lalui, kata kartunis

Fahmi Reza muncul di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk menyaksikan Najib Razak didakwa atas 4 pertuduhan pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa.

KUALA LUMPUR: Kartunis kontroversi, Fahmi Reza yang popular dengan lakaran “badut” Datuk Seri Najib Razak, muncul di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta untuk melihat sendiri proses pendakwaan ke atas bekas perdana menteri itu.

“Saya di sini sebagai salah seorang warganegara yang pernah ditangkap, didakwa, dibicara dan dihukum bicara kerana mengkritik korupsi Najib Razak.

“Saya didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur ini dan akan sambung bicara hujung bulan ini.

“Jadi, saya di sini untuk dengar sendiri pendakwaan jenayah yang akan dijatuhkan ke atas Najib dan dengar sama ada dia akan mengaku bersalah atau tidak terhadap mana-mana pendakwaan,” katanya di lobi Kompleks Mahkamah Tinggi hari ini.

Fahmi didakwa mengaibkan Najib dengan memuat naik lukisannya yang menampilkan Najib seperti badut ke Facebook 2 tahun lepas.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 1 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah Sesyen Ipoh menjatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM30,000 terhadapnya pada 20 Februari lalu.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan kes itu di Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, Najib mengaku tidak bersalah terhadap 3 pertuduhan melakukan pecah amanah dan 1 dakwaan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM42 juta.

Fahmi berkata, Najib sekarang boleh merasai apa yang pernah dilaluinya.

“Akhirnya dia dapat rasa sendiri apa yang saya rasa semasa berada di bawah pemerintahan dia.

“Sebagai warganegara, kita semua berminat nak tahu sama ada kita boleh dapat keadilan, kita mahu semua yang terlibat dalam jenayah korupsi di negara ini dibawa ke muka pengadilan.

“Jadi, saya di sini untuk dengar dan tengok sendiri sama ada kita boleh dapat keadilan atau tidak.”