
GEORGE TOWN: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu pelajar tingkatan 2 M Vasanthapiriya tidak dipukul, dimarahi dan didesak sepanjang disoal berhubung kehilangan telefon bimbit gurunya.
Guru, R Raymala, 48, yang juga pemilik telefon bimbit yang hilang itu berkata beliau juga tidak secara terus menuduh Vasanthapiriya mengambil telefon bimbit itu sebaliknya bertanyakan kepada pelajar itu sama ada dia ada memasuki bilik guru atau tidak.
Beliau berkata Vasanthapiriya berkali-kali memberitahu dia tidak memasuki bilik guru ketika disoal di pejabat sekolah.
“Ketika waktu rehat kami ada suruh dia pergi makan tapi dia tak keluar sebab dia cakap waktu rehat memang dia tak makan. Dalam waktu rehat itu saya ada tanya dalam bahasa Tamil (sama ada dia ada masuk bilik guru), dia kata dia tak masuk.
“Kira-kira pukul 5.30 petang, saya bawa dia pergi kantin kerana pada waktu rehat dia tak makan tapi di kantin pun dia tak mahu makan. Saya kata pada dia awak tak perlu sedih dan kemudian dia kata dia tak lapar. Jadi, saya belikan dia milo ais dan dia sekali lagi beritahu saya tak ambil telefon bimbit cikgu dan saya beritahu kita bincang perkara ini kemudian,” katanya.
Raymala ialah saksi ke-8 prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian pelajar tingkatan 2 itu yang meninggal dunia selepas menggantung diri, dipercayai kerana malu akibat dituduh mencuri telefon pintar seorang guru.
Saksi itu yang juga guru kelas Vasanthapiriya di Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist Nibong Tebal berkata pelajar berkenaan kemudiannya mengakui mengambil telefon bimbitnya selepas seorang lagi guru S Paramasivam, 47, menunjukkan rakaman video yang memaparkan kelibat seorang pelajar dalam bilik guru.
“Saya tanya dia kenapa sebelum ini tidak mengaku, dia kata dia sudah bersumpah atas nama ayah dan ibu kepada rakannya Yogamalar dan dia tidak mahu ‘break the promise’. Dia kata telefon bimbit saya ada pada Yogamalar dan dia suruh saya pergi sekarang kerana takut rakannya buat apa-apa pada telefon bimbit itu,” katanya.
Raymala berkata beliau dan suaminya membawa Vasanthapiriya ke rumah Yogamalar selepas tamat waktu sekolah, namun rakan pelajar itu tiada di rumah sebelum guru berkenaan mengambil keputusan untuk menghantar Vasanthapiriya pulang ke rumahnya.
Beliau berkata ketika perjalanan pulang ke rumah Vasanthapiriya, pelajar itu ada berbisik kepadanya supaya tidak memberitahu tentang kehilangan telefon bimbit itu kepada bapanya.
“Saya pernah jumpa bapa Vasanthapiriya kerana sebelum ini saya pernah berurusan dengannya mengenai 2 anak lelakinya yang ada masalah disiplin. Saya beritahu apa yang berlaku dan bila bapa Vasanthapiriya tanya dia jawab ya dia ambil. Bila Vasanthapiriya kata dia ambil bapa dia marah dia.
“Sebelum saya pulang ke rumah saya berpesan pada bapa Vasanthapiriya jangan marah dan jangan pukul. Bapanya kemudian kata dia tidak akan sentuh anak perempuannya dan berkata kalau isteri dia tahu, isterinya akan pukul anaknya. Selepas itu saya pun pulang ke rumah,” katanya.
Terdahulu, seorang lagi saksi, Amirul Adib Ahmad Zakhi, 29, pegawai perubatan di Hospital Sungai Bakap berkata terdapat kesan di bahagian leher dan kesan trauma lama di pergelangan tangan kiri Vasanthapiriya.
Beliau berkata kesan di bahagian leher itu disebabkan oleh pergeseran manakala di bahagian tangan kiri itu terdapat luka-luka lama yang disebabkan oleh objek tajam.
Inkues yang didengar di hadapan Koroner Norsalha Hamzah bersambung Jumaat ini. Inkues dibantu pegawai pengendali yang juga Pengarah Pendakwaan Negeri, Yusaini Amier Abdul Karim dan JG Kameni.
Vasanthapiriya meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Seberang Jaya pada 3.35 pagi, 1 Februari lalu selepas tidak sedarkan diri akibat menggantung diri di rumahnya.