SPRM beku akaun bank cucu Najib, kata Umno

SPRM beku akaun bank cucu Najib, kata Umno

Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Adam mendakwa akaun cucu Najib Razak adalah salah 1 daripada 3 akaun di bawah nama Nooryana Najwa.

Free Malaysia Today
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam.
KUALA LUMPUR:
Ahli Majlis Tertinggi Umno hari ini menyelar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas membuat penafian berhubung pembekuan akaun bank milik cucu Datuk Seri Najib Razak berusia 10 bulan, termasuk ibunya.

Dalam kiriman Instagram, Datuk Lokman Noor Adam memuat naik apa yang didakwa sebagai surat rasmi daripada SPRM yang memaklumkan Nooryana Najwa mengenai pembekuan 3 akaun bank CIMB miliknya.

Beliau berkata salah satu akaun itu ialah akaun Junior Saver milik cucu Najib, Adam Razak.

“SPRM nak nafi? Memanglah akaun atas nama ibu sebab Adam masih bayi, tapi tak faham ke erti Junior Saver (Adam), Ada ke mak orang pakai junior akaun?” tulisnya di Instagram.

Akaun Junior Saver CIMB ialah akaun simpanan pemegang amanah di mana ibu bapa atau penjaga mengendalikannya bagi pihak anak mereka.

Semalam, Nooryana mendakwa akaun bank peribadi dan anak lelakinya dibekukan selepas membayar ikat jamin bapanya yang didakwa pada Rabu dengan pertuduhan pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa.

“Apakah simpanan anak saya ada kaitan dengan 1MDB? Adakah ini Malaysia yang baru kita berdoa,” tulisnya di Facebook.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki bagaimanapun menafikan pihaknya membekukan akaun cucu Najib.

“Akaun cucu Najib tidak pernah dibekukan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Najib didakwa terhadap 4 pertuduhan, termasuk pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa berhubung RM42 juta yang dikatakan daripada SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Tinggi menetapkan ikat jamin RM1 juta dan membenarkan Najib membayar RM500,000 dan bakinya perlu diselesaikan pada pukul 3.00 petang Isnin depan.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap 4 tuduhan tersebut.

Anak Najib hentam kerajaan ‘pendendam’ selepas akaun bank dibeku

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.