
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Sharikan Bustaman berkata selepas beroperasi selama 43 jam sejak Khamis lepas, api di 2 tangki berjaya dipadamkan sekitar 6.40 pagi dan 10 pagi tadi.
“Pada 3 pagi tadi boleh dikatakan angin agak tenang dan ketika itu kami menumpukan sepenuhnya pada proses untuk memadam kebakaran…Kita anggarkan keseluruhan kebakaran tersebut dapat dipadamkan lewat malam ini,” katanya ketika ditemui di kawasan perindustrian KBC Telok Kalong di sini.
Beliau berkata, keadaan angin kuat pada hari ini mengganggu tumpuan anggota bomba dan menyukarkan operasi memadam kebakaran kerana pihaknya terpaksa menukar anggota setiap 2 jam bagi memastikan tumpuan anggota tidak terjejas.
“Keadaan yang berangin menyebabkan kami sukar menempatkan hala tuju pancutan air dan apabila hendak tuju pada satu posisi, kami terpaksa mengambil langkah ke arah 30 darjah daripada sasaran sebenarnya akibat keadaan angin.”
Sharikan berkata, operasi pada hari ke-3 melibatkan 196 anggota JBPM Terengganu, termasuk anggota bantuan daripada JBPM Perak, Pahang serta bantuan 9 agensi lain dengan kekuatan 46 anggota, iaitu polis, Hospital Kemaman, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), ERT KBC, Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (Dosh) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Kebakaran yang bermula 6.15 petang Khamis lepas membabitkan 3 tangki (daripada 6) yang mengandungi minyak mentah lebih 20,000 liter padu itu, seorang pekerja di kilang itu dilaporkan cedera parah, manakala 3 lagi mengalami cedera ringan.