Tidak perlu menteri untuk panggil pulang duta

Tidak perlu menteri untuk panggil pulang duta

Kerajaan di seluruh dunia boleh melantik individu pilihan mereka untuk mengetuai kedutaan di luar negara.

Free Malaysia Today
Duta menjalankan tugas mereka atas perintah kerajaan dan negara tuan rumah. (Gambar kln.gov.my)
PETALING JAYA:
Bekas diplomat kanan berkata Putrajaya boleh menentukan tempoh perkhidmatan duta dan ketua misi di luar negara, dan menambah apa-apa perubahan hanya memerlukan prosedur pentadbiran.

“Lumrah bagi lantikan politik dipanggil pulang apabila kerajaan berubah berikutan proses demokrasi,” katanya kepada FMT, merujuk laporan akbar berbahasa Inggeris bahawa 2 duta yang diarahkan pulang menegaskan mereka hanya akan mematuhi arahan yang dikeluarkan menteri luar negeri, bukannya pegawai kanan Wisma Putra.

Bekas diplomat itu berkata, menjadi amalan mana-mana kerajaan di seluruh dunia untuk melantik individu pilihan mereka.

“Ini berlaku di Amerika sepanjang masa. Ia tidak harus menjadi isu sama sekali,” katanya, yang pernah berkhidmat selama puluhan tahun mengetuai misi diplomatik Malaysia ke banyak negara.

Jawatan menteri luar kosong selama hmpir 2 bulan berikutan perubahan kerajaan selepas pilihan raya umum 9 Mei.

Isnin lepas, Datuk Saifuddin Abdullah diumumkan sebagai menteri luar baru menggantikan Datuk Seri Anifah Aman.

Minggu lepas dilaporkan beberapa duta Malaysia yang merupakan lantikan politik kerajaan pimpinan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini diberikan notis pengosongan jawatan mereka.

Mereka termasuk duta ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan duta ke Vatican, Tan Sri Bernard Dompok.

Zahrain merupakan bekas pemimpin PKR tetapi meletak jawatan untuk menjadi Ahli Parlimen mesra Barisan Nasional pada 2010, sementara Dompok adalah bekas menteri perladangan, industri dan komoditi.

Bercakap kepada FMT, diplomat veteran tersebut berkata, isu memanggil pulang diplomat atau duta merupakan prosedur pentadbiran yang boleh dibuat oleh ketua setiausaha kementerian atau timbalannya.

“Biasanya arahan dikeluarkan oleh KSU atau TKSU pentadbiran, bukan daripada menteri, katanya.

Beliau berkata duta menjalankan tugas mereka atas perintah kerajaan dan negara tuan rumah.

“Bagi negara tuan rumah, ia boleh dilakukan dengan mengisytiharkan ketua misi terbabit sebagai ‘persona non grata’ atau meminta kerajaan pengutus memanggilnya pulang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.