8 remaja diselamatkan dari gua semakin pulih

CHIANG RAI: Semua 8 remaja lelaki yang dibawa keluar dari gua Tham Luang yang banjir berada dalam keadaan sihat pada pagi Selasa selepas dirawat di hospital kerana suhu badan rendah dan jangkitan paru-paru, lapor Bangkok Post.

Setibanya di hospital, 8 pemain bola sepak remaja itu diberikan pemeriksaan perubatan serta menerima nutrien, vitamin, vaksin dan antibiotik, kata Setiausaha Tetap Kesihatan, Dr Jessada Chokdamrongsuk, kepada pemberita di Hospital Chiangrai Prachanukroh.

Kumpulan pertama 4 remaja, yang berusia lingkungan 14 hingga 16 tahun, dibawa keluar pada Ahad dan mempunyai suhu badan rendah.

Dua didiagnosis dengan jangkitan paru-paru dan seorang mengalami kecederaan di pergelangan kaki kanan.

Kumpulan ke-2 4 remaja, yang berusia lingkungan 12 hingga 14 tahun, juga tiba di hospital dengan suhu badan rendah dan seorang mempunyai denyutan nadi yang luar biasa perlahan.

Selepas menerima rawatan, semuanya berada dalam keadaan baik pada pagi Selasa, kata Dr Jessada.

Semua remaja terbabit juga berada dalam keadaan psikologi yang baik, mampu bercakap dan tiada yang demam.

Bagaimanapun, jumlah sel darah putih mereka pada mulanya tinggi dan para doktor kini menanti keputusan ujian makmal, yang dijangka diperoleh dalam tempoh beberapa hari lagi, untuk mengetahui sama ada mereka dijangkiti sebarang penyakit.

Kumpulan pertama 4 remaja bertemu keluarga masing-masing melalui tingkap.

Dr Jessada berkata suhu badan mereka yang pada mulanya rendah mungkin disebabkan mereka terperangkap tanpa makanan serta berada di kawasan lembap, dan terpaksa menyelam untuk tempoh yang lama dalam perjalanan mereka keluar dari gua itu.

“Remaja lelaki terbabit sering lapar kerana tubuh mereka memerlukan makanan. Pagi ini kumpulan pertama remaja lelaki itu meminta roti dan lepa coklat, oleh kerana mereka adalah atlet, tubuh mereka dapat menentang penyakit dengan baik.

Mereka masih bergantung kepada titis salius kerana doktor menyalurkan ubat secara intravena,” katanya.

Semua remaja lelaki itu dibawa keluar dari gua tersebut dengan mata tertutup bagi melindungi mata mereka.

Penglihatan kumpulan pertama 4 remaja itu kembali normal namun kumpulan kedua masih memakai cermin mata hitam.

Setakat pagi Selasa, 4 remaja lelaki dan seorang jurulatih bola sepak mereka masih terperangkap dalam gua itu.

Menurut laporan antarabangsa, petugas pasukan penyelamat memulakan misi menyelamat pada hari ke-3 untuk mengeluarkan baki 5 orang yang masih terperangkap.

Kumpulan 13 orang itu memasuki kompleks gua terbabit selepas menjalani latihan bola sepak pada 23 Jun dan terperangkap dalam banjir kilat yang melanda akibat hujan lebat di kawasan tersebut.