Rosmah nafi beli barang kemas dalam tuntutan saman

Kumaraendran (dua dari kanan) dan Geethan Ram nafi Rosmah membeli barangan kemas yang disenaraikan dalam tuntutan GRT. (Gambar Bernama)
Rosmah Mansor.

PETALING JAYA: Isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, hari ini menafikan membeli barang kemas yang disenaraikan dalam saman sivil Global Royalty Trading SAL (GRT).

Peguamnya, Datuk Kumaraendran dan Datuk Geethan Ram, dalam kenyataan berkata barangan kemas yang disenaraikan dalam penyataan tuntutan yang dihantar kepada anak guam mereka tidak dibeli oleh Rosmah.

“Dakwaan yang tersebar mengatakan barangan kemas yang disenarai oleh GRT itu dibeli, dan dibeli dengan dana yang dicuri, adalah sama sekali tidak berasas dan tidak benar.

“Kami akan memgambil langkah-langkah yang perlu untuk melindungi kepentingan anak guam kami,” kata mereka.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Rosmah disaman seorang tukang emas dari Lubnan berjumlah hampir RM60 juta selepas 44 barangan kemas yang dihantar kepadanya pada Februari, dirampas pihak berkuasa Mei lalu.

Memetik dokumen GRT, laman itu melaporkan saman dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Jun lalu.

Menurut laporan itu, antara barang kemas tersebut termasuklah kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, setiap 1 bernilai antara AS$124,000 (RM499,000) hingga AS$925,000 (RM3.7 juta).

Laporan itu menambah GRT mendakwa Rosmah mengakui menerima barangan bersebut dalam surat bertarikh 22 Mei.

Pada Mei lalu, polis merampas 72 beg berisi barangan kemas, pelbagai jenis matawang dan barangan berharga di sebuah kondominium mewah, dipercayai berkaitan dengan Datuk Seri Najib Razak dalam siasatan kes 1MDB.

Pada 27 Jun, polis berkata hasil pengiraan ke atas beg tangan berjenama, barang kemas dan wang tunai yang dirampas itu berjumlah RM900 juta hingga RM1.1 bilion.

Polis turut merampas 12,000 jenis barang kemas dalam 25 beg yang semuanya berjumlah RM440 juta, termasuk 1,400 utas rantai, 2,200 cincin, 2,100 gelang, 1,600 kerongsang, 2,800 pasang subang dan 14 tiara.