
Datuk Seri Najib Razak berkata bukan salahnya apabila PH tidak mahu mematuhi peraturan Dewan Rakyat yang menetapkan nama calon speaker perlu dikemukakan kepada urusetia Parlimen sekurang-kurangnya 14 hari sebelum sesi bermula.
“Saya bukan lagi perdana menteri atau berada dalam kerajaan yang mentadbir, maka kenapa pula saya dipersalahkan terhadap isu perlantikan speaker ini?” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Alasan ‘semua salah Najib’ yang sudah menjadi tatacara operasi standard PH ini perlu dihentikan. Atau adakah ia akan berlanjutan selama 5 tahun akan datang?”
Terdahulu, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata ada pihak sengaja mensensasikan isu lewat mengumumkan nama speaker untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu berkaitan Najib. Menteri itu diminta memberi reaksi kepada tular yang mengatakan kelewatan itu menyalahi Perkara 3 dan 4 dalam peraturan majlis mesyuarat.
Mesyuarat pertama Dewan Rakyat akan bersidang Isnin ini.
“Pada ketika ini, hanya tinggal 2 hari sahaja lagi sebelum Parlimen bermula, identiti tuan yang dipertua masih lagi belum dikenal pasti dan ini menjurus kepada pelbagai debat awam terhadap siapakah yang akan mengisi jawatan itu.”
Najib mengingatkan persoalan yang timbul adakah pemerintah mematuhi peraturan mesyuarat Dewan Rakyat dalam soal pelantikan speaker baru.
“Jika tidak mampu mematuhi peraturan badan tertinggi negara, bagaimana mahu mengakui bahawa kerajaan baharu ini mentadbir berasaskan kepada kedaulatan undang-undang?” katanya.
Najib berkata alasan yang diberikan PH tidak adil bagi rakyat yang mengharapkan yang lebih baik daripada kerajaan baru.
“Atau adakah mereka akan terus dibelenggu dengan harapan?” katanya.
Sebelum ini, rancangan untuk melantik seorang ahli parlimen sebagai speaker Dewan Rakyat mungkin diabaikan kerana terdapat kebimbangan keputusan itu tidak sesuai dengan janji PH untuk memastikan keadilan dalam perbahasan Parlimen, dedah sumber terdekat dalam kalangan kepimpinan tertinggi.
Sebaliknya, 2 hakim Mahkamah Rayuan yang bersara, iaitu Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dan Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunos, kini menjadi pilihan walaupun mendapat tekanan daripada PKR supaya melantik orangnya sebagai sebahagian “kompromi” selepas wakil pilihannya “diketepikan” untuk jawatan menteri besar di beberapa negeri.
Kini, bekas hakim pula dijangka pegang jawatan speaker Dewan Rakyat