Pengalaman sebagai arkitek bantu siapkan projek sakit zaman BN, kata Raja Bahrin

Pengalaman sebagai arkitek bantu siapkan projek sakit zaman BN, kata Raja Bahrin

Fokus utama pihak kerajaan sekarang ialah memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik di bawah harga RM200,000 seunit.

Free Malaysia Today
Raja Bahrin berkata di bawah pemerintahan PH, kerajaan akan mengubah sistem urus tadbir supaya tidak ada lagi projek yang dirancang siap separuh jalan.
PETALING JAYA:
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin yang baru dilantik berkata beliau akan mengunakan pengalaman sebagai arkitek untuk menyiapkan banyak projek sakit ditinggalkan oleh era pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Katanya, di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH), kerajaan akan mengubah sistem urus tadbir yang lemah supaya tidak ada lagi projek yang dirancang siap separuh jalan.

“Salah satu daripada manifesto PH ialah urus tadbir yang baik. Kita tahu banyak projek niatnya baik, tapi disalah tadbir dan akhirnya keperluan perumahan rakyat terbiar begitu sahaja.

“Siapkan projek sakit itu tumpuan kita. Sebagai arkitek saya biasa menangani masalah. Kontraktor ini macam-macam, ada yang lari, projek jadi terbengkalai. Ini bukan pengalaman baru,” katanya kepada FMT dan menambah projek terbengkalai yang dibiarkan akan meningkatkan kos pembinaan.

Kamarul yang juga pengerusi PH Terengganu berkata fokus utama pihak kerajaan ialah memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik.

“Saya harap dapat menyumbang, terutamanya untuk menangani isu rumah mampu milik, kos sederhana dan kos rendah kerana ia menjadi keutamaan hari ini.

“Golongan termiskin perlukan banyak perhatian dan kebetulan Terengganu antara negeri termiskin,” katanya sambil memaklumkan harga rumah mampu milik disasarkan ialah RM200,000 ke bawah.

Kamarul merupakan satu-satunya wakil dari Terengganu dilantik ke dalam kabinet.

“Rakyat Terengganu sangat mengharapkan wakil dari Terengganu dalam kerajaan pusat untuk menyalurkan pandangan dan masalah serta bantuan,” katanya.

Kamrul berkata beliau tidak menjangka akan dilantik sebagai timbalan menteri.

Senator angkat sumpah menteri, timbalan hari ini

PH Terengganu saran Dr M pilih Raja Bahrin sertai Kabinet

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.