PH bincang kembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen

PH bincang kembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen

Nga Kor Ming berkata, akta itu perlu agar Parlimen mempunyai autonomi sendiri serta dapat memainkan peranan semak dan imbang terhadap kuasa eksekutif kerajaan.

Free Malaysia Today
Nga berkata kerajaan serius dalam usaha mengembalikan kewibawaan institusi Parlimen dengan mewujudkan semula akta tersebut. (Gambar Bernama)
IPOH:
Kerajaan Pakatan Harapan telah mengadakan perbincangan untuk mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada 1992, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming.

Beliau berkata akta itu perlu diwujudkan semula agar Parlimen mempunyai autonomi sendiri serta dapat memainkan peranan dengan menimbang serta memeriksa kuasa eksekutif kerajaan demi kebaikan rakyat dan negara.

“Antara pembaharuan yang kami komited (untuk lakukan) termasuk mahu membebaskan Parlimen sebagai sebuah institusi yang benar-benar mencerminkan doktrin pengasingan kuasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kepayang Dr Ko Chung Sen, semalam.

Nga mengulas perbahasan Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) pada persidangan Dewan Rakyat Rabu lepas yang mahu kerajaan serius dalam usaha mengembalikan kewibawaan institusi Parlimen dengan mewujudkan semula akta tersebut.

Johari berkata Parlimen perlu mempunyai peruntukan kewangan secara langsung serta melantik kakitangan sendiri tanpa perlu mengambil daripada Jabatan Perdana Menteri seperti sebelum ini.

Dalam pada itu, Nga yang juga Anggota Parlimen Teluk Intan mengingatkan anggota Parlimen supaya menjaga tingkah laku sepanjang persidangan berlangsung.

“Setiap perkataan yang dituturkan di dalam dewan akan mencerminkan watak dan tingkah laku sebagai yang berhormat supaya mereka disanjung dan dihormati oleh rakyat,” katanya.

Mengulas tindakan pengguna Facebook dikenali sebagai “Jing Hong” yang didakwa membuat ugutan bunuh terhadap dirinya dan Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong, Nga berkata beliau menyerahkan kes itu kepada polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menjalankan siasatan.

“Saya berharap polis memainkan peranan proaktif dalam melindungi keselamatan pimpinan kerajaan baru supaya tidak ada kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Semalam, Adun Keranji Chong Zhemin membuat laporan polis berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.