
Bagaimanapun, katanya, terpulang kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi jika mereka mahu mengambil peranan itu.
Beliau berkata, mesyuarat akan diadakan Khamis ini oleh Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, timbalan speaker dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal Parlimen, Datuk Liew Vui Keong.
“Kami akan mencadangkan seorang ahli Parlimen pembangkang sebagai pengerusi PAC,” katanya kepada wartawan ketika ditanya perkara itu.
Beliau berkata, Pakatan Harapan serius memenuhi janji dalam manifestonya, termasuk pelantikan seorang ahli Parlimen pembangkang sebagai pengerusi PAC.
“Jika kami tidak serius, kami tidak akan mengadakan mesyuarat (Khamis ini),” katanya sambil menambah keputusan perlu dibuat sebelum sidang Dewan Rakyat berakhir 20 Ogos ini.
Ditanya jika pembangkang berhasrat memegang jawatan itu, katanya, ia terpulang kepada Zahid.
Kerajaan PH sebelum ini berjanji melakukan pembaharuan untuk mengukuhkan institusi Parlimen bagi membolehkan ia memainkan peranan lebih berkesan untuk semak imbang kuasa eksekutif.
Ini termasuk menubuhkan Jawatankuasa Parlimen untuk memantau setiap kementerian, memastikan pelantikan semua jawatan tertinggi disaring jawatankuasa itu dan memilih seorang ahli Parlimen pembangkang mengetuai PAC.
Dahulu, PAC diketuai seorang ahli Parlimen BN.
PAC ialah Jawatankuasa Parlimen yang bertanggungjawab memantau perbelanjaan tahunan agensi kerajaan dan badan berkanun lain serta mengeluarkan laporan berhubung hasil siasatan mereka.