Wujud beberapa kem menjelang pemilihan PKR, kata Zuraida

Zuraida Kamaruddin menyifatkan kewujudan kem dan pertandingan dalam pemilihan parti sebagai keadaan sihat.

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mengakui wujud beberapa kem menjelang pemilihan parti bulan depan.

Bagaimanapun, katanya, ia adalah perkara biasa dalam parti yang mempraktikkan sistem demokrasi.

“Kalau lawan mestilah ada beberapa kem.

“Jika tidak, tak ada lawanlah,” katanya di lobi Parlimen hari ini ketika ditanya sama ada wujud beberapa kem menjelang pemilihan PKR kali ini.

Zuraida yang juga ahli Parlimen Ampang menyifatkan kewujudan kem dan pertandingan dalam pemilihan parti sebagai keadaan sihat.

“Di dalam amalan demokrasi, semua pihak perlu dibenarkan bertanding. Selepas itu, mereka boleh jadi kawan.”

Pada 8 Julai lalu, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menafikan wujud 2 kem yang diketuai beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang pemilihan parti bulan depan.

Katanya, Anwar yang juga ketua umum PKR bergerak seiring dalam satu kem dengan ahli lain.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mendakwa wujud 2 puak yang mahu Wan Azizah dikekalkan sebagai presiden dan beliau berundur untuk memberi laluan kepada Anwar sebagai persediaan menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Sementara itu, Zuraida berkata, beliau belum memutuskan mahu bertanding jawatan apa dalam pemilihan parti.

“Tarikh pencalonan untuk pemilihan pusat ditunda dari 29 Julai ini ke 5 Ogos.

“Jadi, ia beri saya lebih sedikit masa untuk pertimbangkan. Pertimbangan saya untuk bertanding berdasarkan kepentingan atau keperluan politik dalam PKR sendiri.

“Jawatan saya nak bertanding itu harus beri impak kepada pengukuhan parti dan pemantapan akar umbi.”