Mufti berbeza pendapat tentang Akta Kebencian Agama & Kaum

Mufti berbeza pendapat tentang Akta Kebencian Agama & Kaum

Wan Salim bersetuju bagi mengelakkan persengkataan tetapi Abdul Rahman berkata orang ramai maklum Islam tak boleh dicaci dan dimaki.

Free Malaysia Today
Mufti Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor (kiri) dan Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman.
PETALING JAYA:
Dua orang mufti berbeza pendapat tentang keperluan rang undang-undang Kebencian Agama dan Kaum, yang akan dikemukakan kerajaan bagi melindungi semua agama daripada cacian dan makian.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor percaya langkah itu boleh mengelakkan perbalahan dan persengkataan dalam masyarakat majmuk.

“Kita hormati semua agama,” katanya. “Ini bukan bererti kita mengakui kebenaran agama lain. Orang Islam sudah tentu yakin kebenaran Islam sebab itu dia tak masuk agama lain.”

Pulau Pinang antara negeri majmuk, di mana kaum Bumiputera membentuk 41.73% penduduk, berbanding Cina 39.75%, India 9.51% dan lain-lain 0.29%, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia.

Wan Salim menyokong undang-undang yang menjaga kepentingan rakyat tanpa memandang perbezaan bangsa, etnik, budaya dan agama, dan dalam masa yang sama memelihara hak semua pihak berkenaan.

“Macam mana kerajaan melindungi Islam dan memberi kebebasan kepada orang Islam mengamalkan ajaran Islam, macam itu juga kerajaan bertanggungjawab memelihara dan melindungi agama lain.

“Ini tak bererti kita nak galakkan orang Islam murtad dan menganut agama lain, tidak seperti itu.”

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman pula berpandangan kerajaan tidak perlu mengemukakan RUU seperti itu kerana orang ramai maklum Islam tidak boleh dicaci dan dimaki.

“Kalau tak ada undang-undang itu pun tak timbul perbalahan sebab kita negara Islam yang bebas, tapi penganut agama lain tak boleh mencaci Islam dan itu yang penting.”

Pahang adalah negeri majoriti kaum Bumiputera, yang membentuk lebih kurang 75% daripada penduduk, diikuti Cina 14.88%, India 4.08% dan lain-lain 0.48%, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia.

Abdul Rahman juga berkata larangan mendakwahkan agama lain kepada orang Islam juga menyumbang kepada keamanan dalam masyarakat.

“Mereka nak cakap sesama mereka di tempat gereja ataupun di kuil tak salah,” katanya.

 

Kerajaan akan kemuka Akta Kebencian Agama dan Kaum

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.