
Timbalan speaker itu berkata Dewan Rakyat masih mempunyai masa untuk menentukan siapakah yang akan mengetuai badan siasatan itu.
Katanya, Dewan Rakyat masih belum menerima sebarang nama daripada pihak pembangkang berhubung lantikan ke jawatan tertinggi PAC itu.
“Perkara ini kita akan bawa pada 6 atau 7 Ogos depan, jadi kita ada masa lagi untuk selesaikan isu ini.
“Tidak perlu tergesa-gesa, biarkan kami selesaikan perkara ini dengan baik. Ini memang telah diperuntukkan di bawah perintah tetap Parlimen,” katanya kepada media selepas mengiringi Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof membuat lawatan ke bilik media di Parlimen hari ini.
Kor Ming sebelum ini berkata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dibayangkan untuk mengisi jawatan itu.
“Ini adalah sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk pengerusi PAC diisi oleh pembangkang supaya proses semak dan imbang terhadap kuasa eksekutif lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata sesiapa sahaja daripada blok pembangkang boleh dilantik jika Zahid tidak mahu menerima jawatan itu.
Zahid semalam berkata keputusan untuk menjawat jawatan pengerusi PAC hanya akan diputuskan selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Ahli Parlimen pembangkang lain, termasuk PAS.
Katanya, beliau belum menerima sebarang tawaran rasmi daripada kerajaan mengenai jawatan tersebut.
Untuk rekod, jawatan pengerusi PAC tidak pernah disandang oleh mana-mana Ahli Parlimen pembangkang sebelum ini.
Bekas Ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giew merupakan timbalan pengerusi PAC semasa pemerintahan Barisan Nasional.