Hakim baru akan dengar kes Najib

Hakim baru akan dengar kes Najib

Difahamkan, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dari Mahkamah Tinggi Dagang 1 akan menggantikan tempat Mohd Sofian Abd Razak di Mahkamah Jenayah 3.

Free Malaysia Today
Sumber mahkamah mengesahkan Mohd Sofian Abd Razak yang mendengar kes Najib sebelum ini akan ditukarkan ke Mahkamah Tinggi Sivil mulai bulan depan.
KUALA LUMPUR:
Kes bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa atas tuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta dijangka didengar di depan hakim Mahkamah Tinggi baru.

Sumber mahkamah hari ini mengesahkan Hakim, Datuk Mohd Sofian Abd Razak yang sebelum ini mendengar kes Najib akan ditukarkan ke Mahkamah Tinggi Sivil 10 bermula 1 Ogos ini.

“Ia adalah rutin biasa untuk seseorang hakim ditukarkan ke mahkamah lain,” kata sumber.

Sumber lain berkata, surat pertukaran itu ditandatangani Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim awal minggu ini.

Difahamkan, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dari Mahkamah Tinggi Dagang 1 akan menggantikan tempat Sofian di Mahkamah Jenayah 3.

Usaha media menemui Sofian gagal kerana hakim itu sedang mendengar perbicaraan kes.

Pada 4 Julai lalu, Najib mengaku tidak bersalah di depan Sofian atas 3 tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan menyalahgunakan kuasa berkaitan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Media sebelum ini melaporkan Sofian perlu menarik diri daripada mendengar kes Najib atas alasan abangnya mempunyai kedudukan dalam Umno dan kerajaan Pahang.

Bagaimanapun, pada 6 Julai lepas, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam kenyataan media berkata, pemilihan Sofian untuk mendengar kes Najib dibuat secara rawak.

Kenyataan itu menyebut mulai 13 Jun 2017, pendaftaran kes jenayah di Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dilaksanakan secara dalam talian melalui Portal e-Filing Mahkamah (https://efs.kehakiman.gov.my).

Menurut kenyataan itu proses pendaftaran ini bermula apabila pendakwa raya memfailkan kes mereka dalam sistem e-Filing dan sistem ini akan membahagikan kes secara rawak kepada hakim yang mengendalikan kes jenayah.

Hakim Mahkamah Tinggi 3 ialah Sofian.

Kes Najib ditetapkan pada 8 Ogos ini untuk sebutan dan pendengaran perintah halangan yang dipohon ahli Parlimen Pekan itu untuk menghalang media daripada menyiarkan perbincangan umum berkaitan merit kes itu serta menetapkan tarikh perbicaraan kes itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.