Sukarelawan pulang ke Malaysia selepas bebas dari penjara Israel

Mohd Afandi Salleh bersama keluarganya di KLIA, selepas tiba dari Bangkok malam tadi. (Gambar Bernama)

SEPANG: Wakil tunggal sukarelawan Malaysia, Prof Mohd Afandi Salleh yang ditahan tentera Israel di Penjara Givon, berasa seperti berada di zon perang ketika kapal flotila Al-Awda membawa ubat-ubatan ke Gaza ditawan tentera Israel pada kedudukan 49 batu nautika dari perairan Gaza.

Afandi yang ditemui pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi, berkata kapal itu dikepung 12 bot tentera laut Israel, termasuk 3 kapal perang biarpun hanya membawa bekalan ubat, sedangkan semua barang yang boleh mengancam keselamatan tentera Israel sudah dicampak ke laut.

“Malah, garpu juga saya campak ke laut kerana tidak mahu tentera Israel berasa terancam. Namun, kapal kami tetap dikepung dengan tentera bersenjatakan mesingan dan diarahkan belayar ke perairan Israel,” katanya.

Timbalan dekan Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berusia 47 tahun yang menetap di Terengganu itu, selamat tiba di tanah air selepas dibebaskan tentera Israel pada Isnin.

Afandi dibebaskan selepas ditahan di penjara Israel kira-kira 36 jam.

Beliau tiba di KLIA pada 7.40 malam Selasa dengan pesawat Thai Airways dari Bangkok. Sebelum itu, Afandi menaiki pesawat Israel Airlines El Al dari Tel Aviv ke Bangkok.

Jelasnya, beliau dibebaskan tentera Israel selepas dipaksa menandatangani surat perakuan menceroboh perairan Israel.

“Saya diminta untuk menandatangani surat akuan itu di depan peguam saya. Ia bukan bermakna saya mengakui kesalahan itu, tetapi saya perlu keluar dan pulang ke tanah air kerana risaukan kesihatan ibu di Terengganu.”

Afandi berkata, pihak berkuasa Israel membelikan tiket penerbangan ke Malaysia dan ketika transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok, beliau meminta bantuan pelancong rakyat Malaysia bernama Darren untuk menghantar WhatsApp kepada isterinya memaklumkan dia akan pulang semalam.

“Semua wang tunai sebanyak 496 euro dan telefon bimbit dirampas tentera Israel. Saya pulang dengan tidak membawa apa-apa.”

Afandi berlepas dari KLIA pada 15 Julai lalu untuk menyertai misi kapal flotila Al-Awda yang membawa 116 kotak ubat-ubatan ke Gaza.

Misi itu dikenali sebagai solidariti flotila “Right to A Just Future for Palestine”.

Kapal flotila Al-Awda yang berlayar menggunakan bendera Norway membawa 22 aktivis dari 16 negara, termasuk penyokong hak asasi manusia, wartawan dan kru, serta turut membawa kargo ubat-ubatan bernilai 13,000 euro (RM61,554) untuk penduduk Gaza melalui program #Gauze4Gaza.

Bagaimanapun, kapal berkenaan ditawan tentera Israel pada 29 Julai laly, iaitu hari ke-9 pelayaran dan semua sukarelawan ditahan dalam penjara Givon di Israel.