‘Tiada ikrar import 44 barang kemas dihantar kepada Rosmah’

Rosmah Mansor menafikan beliau membeli 44 barang kemas itu.

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang pengikraran import dibuat kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia berkaitan penghantaran 44 barang kemas yang dikaitkan dengan isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Melalui semakan ke atas rekod yang ada di bawah sistem maklumat kastam bagi tempoh 7 tahun selaras tempoh penyimpanan rekod, didapati tiada pengikraran import dibuat ke atas barangan tersebut,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya pada sidang Dewan Rakyat, semalam.

Menurut Lim, ia merupakan satu kesalahan sekiranya tiada pengikraran import dibuat dan boleh dikenakan tindakan, termasuk rampasan.

“Sekiranya siasatan polis tidak dapat mengaitkan konsainan tersebut dengan apa-apa kesalahan, pihak kastam boleh mengaitkan isu ini di bawah Akta Kastam 1967 kerana ia merupakan satu kesalahan dan mengundang pelbagai tindakan, termasuk rampasan,” katanya.

Pada 10 Julai lalu, sebuah syarikat pemborong barang kemas di Lubnan memfailkan saman terhadap Rosmah bagi menuntut beliau memulangkan barang kemas tersebut yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar AS$14.79 juta (RM59.831 juta).

Bagaimanapun, Rosmah dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 23 Julai lalu menafikan beliau membeli barang kemas itu.

Barang kemas itu adalah antara wang, barang kemas, beg tangan mewah, jam mewah dan cermin mata hitam mewah bernilai anggaran RM1.1 bilion, yang dirampas dari premis dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak, bulan lepas.