Adun Seri Setia meninggal dunia

Sebelum ini, media melaporkan Shaharuddin Badaruddin menghidap kanser usus tahap 4.

PETALING JAYA: Adun Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada 6.28 petang ini.

Setiausaha Politik kepada menteri besar Selangor, Borhan Aman Shah berkata, jenazah Shaharuddin akan dibawa pulang ke rumah keluarganya di Desa Pinggiran Putra, Kajang, selepas solat Maghrib dan disembahyangkan di Masjid Kampung Limau Manis, pagi esok.

“Jenazah Allahyarham kemudian akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Limau Manis,” katanya dalam satu kenyataan.

“Ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. Saya berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan golongan yang soleh. Al Fatihah.”

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil turut mewakili parti itu menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga naib presiden PKR itu.

Sebelum ini, media melaporkan Shaharuddin, 55, menghidap kanser usus tahap 4.

Kelmarin, keluarga Shaharuddin menafikan sekeras-kerasnya laporan media yang exco Selangor itu sedang kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di ibu kota.

Setiausaha kanan Shaharuddin, Zafrullah Aris dilaporkan berkata, Shaharuddin bercuti sebulan selepas menjalani rawatan, sebelum kembali bertugas semula.

Pada pilihan raya umum ke-14, Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan 29,250 undi, selepas mengalahkan calon Barisan Nasional, Datuk Yusoff HM Haniff yang memperolehi 9,878 undi, calon PAS, Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon bebas, Dr S Vignes (217).