Malaysia selangkah ke separuh akhir Bola Sepak Asean B-16

Gambar Facebook Football Association of Malaysia (Official)

KUALA LUMPUR: Malaysia mencerahkan peluang ke peringkat separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Asean AFF Bawah 16 (B-16) selepas melakar kemenangan selesa 4-0 ke atas Singapura pada aksi ke-3 kumpulan B di Stadium Gelora Joko Samudro, Surabaya, Indonesia hari ini.

Kemenangan ke-2 diraih skuad negara kendalian Raja Azlan Shah Raja So’ib itu menyaksikan mereka berada di tangga ke-2 kumpulan B di belakang Thailand dengan kutipan 6 mata.

Selepas kalah 1-2 kepada Thailand pada perlawanan pertama, Isnin lalu, skuad negara mengalahkan Brunei 6-1, Jumaat lalu.

Pada perlawanan hari ini, Malaysia mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan Aliff Daniel Abdul Aziz seawal minit ke-8 dan Harith Naem Jaineh pada minit ke-33.

Skuad muda negara menambah 2 lagi gol menerusi Muhammad Fahmi Daniel Mohd Zaaim pada minit ke-46 dan gol sendiri pemain Singapura, Muhammad Ryaan Sanizal pada minit ke-56.

Malaysia perlu menewaskan Laos pada aksi ke-4 di venue yang sama, Selasa ini untuk mengesahkan tiket ke peringkat separuh akhir.

Thailand sudah mengesahkan tempat ke separuh akhir apabila mencatat 3 kemenangan berturut-turut.

Tuan rumah, Indonesia turut mara ke peringkat separuh akhir apabila mencatat 4 kemenangan berturut-turut pada aksi pusingan awal kumpulan A.

Berdasarkan format kejohanan, 2 pasukan terbaik daripada kumpulan A dan B akan mara ke peringkat separuh akhir.

Malaysia pernah muncul juara kejohanan berkenaan pada 2013 yang diadakan di Myanmar.