Izzah: Permatang Pauh cinta abadi, saya tidak akan lepaskan

Nurul Izzah Anwar menyifatkan kerusi Parlimen Lembah Pantai yang pernah disandangnya selama 2 penggal sebagai cinta pertamanya, manakala Permatang Pauh sebagai cinta abadinya.

KUALA LUMPUR: Nurul Izzah Anwar berjanji tidak akan melepaskan kerusi Parlimen Permatang Pauh yang dimenanginya pada pilihan raya umum ke-14 lalu untuk memberi laluan kepada bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib presiden PKR itu berkata, beliau komited berkhidmat kepada masyarakat di Permatang Pauh sehingga tamat penggal 5 tahun ini.

“Saya rasa di Parlimen, saya sebut penggal pertama dan ke-2 saya temui cinta pertama saya Lembah Pantai, Permatang Pauh itu cinta abadi saya.

“Jadi, saya rasa saya akan komited dengan cinta abadi saya sehingga penggal ini tamat,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, ibunya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga berikrar tidak akan melepaskan jawatan disandangnya dalam Kabinet mahupun ahli Parlimen Pandan untuk memberi laluan kepada Anwar.

Wan Azizah berkata, Anwar akan bertanding di kerusi Parlimen, tetapi belum ditentukan kerusi mana.

Semalam, Anwar menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR yang disandang isterinya sejak 2003.