Skandal 1MDB siasatan pertama PAC ‘berwajah baru’

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh memberi jaminan skandal melibatkan 1MDB akan dibuka semula selepas siasatan dihentikan pada April 2016.

Wong berkata tugas pertama PAC ialah membuka semula siasatan untuk menghasilkan laporan yang lebih komprehensif dan lengkap bersama keterangan baharu.

Laporan itu nanti akan dibentangkan ke Dewan Rakyat.

“Dalam isu 1MDB, walaupun didesak oleh wakil pembangkang ketika itu, PAC tetap gagal mengemukakan siasatan semula kes itu meskipun terdapat pendedahan baharu oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pada Julai 2016.

“PAC pada penggal lalu lali dalam tanggungjawabnya selaku badan yang memelihara kepentingan kewangan rakyat,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Parlimen hari ini.

Parlimen hari ini melantik bekas timbalan speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee sebagai pengerusi PAC.

Wong berkata PAC akan berbincang untuk membolehkan pendengaran PAC dibuka kepada orang ramai demi menjamin tahap ketelusan yang tinggi, kecuali untuk perkara yang melibatkan keselamatan negara.

Selain itu, PAC juga akan meneliti undang-undang untuk memberi perlindungan kepada pengadu dan saksi.

Beliau berharap siasatan ini dan langkah-langkah yang diambil akan menebus kembali kepercayaan dan keyakinan rakyat pada jawatankuasa itu.

“PAC bertekad untuk melaksanakan tugas kami tanpa belah bahagi. Saya yakin bahawa ‘precise’, ‘accountable’ dan ‘credible’ adalah 3 tunggak utama untuk PAC berwajah baru ini,” katanya.

Sementara itu, PAC juga akan bekerjasama dengan Jabatan Audit Negara untuk menyiasat kepincangan dan salahlaku yang dilaporkan dalam Laporan Audit Negara, katanya.