SST akan kurangkan harga barang, kata Tony Pua

KUALA LUMPUR: Tony Pua (PH-Damansara) hari ini menjelaskan sebab-sebab kerajaan membuat keputusan memansuhkan GST dan tidak mengurangkan kadarnya ke 3%.

Pua percaya harga barangan akan lebih murah selepas pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Beliau berkata dengan kutipan GST 6%, kerajaan mengutip RM40 bilion dan jika ia dikurangkan ke 3%, ia berjumlah RM20 bilion.

“Itu tidak efisien kerana kos mengutip GST akan lebih tinggi bagi kerajaan dan perniagaan,” katanya ketika membahaskan bacaan kedua usul SST yang patut dilaksanakan 1 September ini.

Sebagai contoh, beliau berkata perniagaan yang memperoleh RM500,000 setahun akan mengutip RM1,250 setiap bulan daripada GST 3%.

“Bukan itu sahaja, mereka juga perlu tolak cukai input. Itu sudah RM1,000. Selepas ditolak, mereka bayar RM250 sebulan. Hanya untuk membayar RM250 sebulan, mereka perlu menanggung kos komputer (perisian), membayar firma perakaunan, kerani dan audit (firma). Kosnya tinggi.

“Sebab itu perniagaan kecil dan sederhana tutup. Anda faham?” katanya kepada Khairy Jamaluddin (BN-Rembau).

Terdahulu, Khairy mencadangkan kerajaan mengurangkan kadar GST daripada 6% ke3% kerana jumlahnya akan sama dengan jumlah yang akan kerajaan kutip daripada SST.

Beliau berkata kerajaan BN membuat keputusan untuk mengutip 6% untuk menyediakan perkhidmatan kepada rakyat, seperti MyBrain, BR1M dan elaun untuk nelayan.

Pua berkata kerajaan akan kerugian jika GST dikurangkan ke 3% kerana mereka masih perlu memantau lebih 400,000 syarikat untuk mengutip RM20 bilion.

“Jadi lebih baik kerajaan pantau 30,000 ke 40,000 syarikat dan kutip cukai yang lebih rendah dan gunakan wang itu untuk membantu rakyat dengan berkesan.”

Pua setuju kutipan GST lebih cekap tetapi ia menjejaskan rakyat.

“Akauntan yang sokong GST. Mereka kata ia cekap tetapi tak bermakna ia adil. Ia seperti memerah darah rakyat.”

Beliau berkata kerajaan PH tidak mahu berbuat sebegitu dan lebih gemarkan sistem cukai yang tidak membenarkan rakyat, walaupun tidak secekap GST.

“Kami tahu SST regresif. Mereka (kerajaan BN) kata mereka boleh kutip lebih dalam belanjawan persekutuan. Tidak betul. Setiap tahun, ia meningkat dari RM37 bilion kepada RM44 bilion tetapi tidak termasuk bayaran balik cukai,” kata Pua.

Khairy juga menimbulkan persoalan tentang kelemahan proses yang memperlahankan proses kutipan cukai.

“Kalau mengenai proses, mengapa tidak baiki prosesnya? Siapa yang sokong GST? Bukan akauntan sahaja. Saya mahu ingatkan Damansara bahawa Bank Negara bawah Tan Seri Zeti Akhtar Aziz, yang kini menganggotai Majlis Penasihat Kerajaan, menyokong GST,” kata Khairy.

Pua berkata: “Saya setuju bukan akauntan sahaja yang sokong GST kerana ada orang lain yang menyokong.

“Kita boleh tanya akauntan adakah pendapatan mereka meningkat selepas GST dilaksanakan. Bagaimanakah kita boleh bertanya kepada mereka tentang sesuatu yang memperkayakan mereka?”

Khairy juga berkata lebih banyak barangan boleh dimasukkan dalam senarai kadar sifar tetapi Pua berkata tidak ada gunanya mempunyai senarai pengecualian cukai yang panjang jika GST berkesan.

“Kita hanya mempersendakan GST kalau kita sediakan senarai pengecualian cukai yang panjang. Tidak ada gunanya perkenalkan GST kalau dibuat begitu,” kata Pua kepada Hamzah Zainuddin (BN-Larut) yang berkata kerajaan BN baik hati kerana mengecualikan banyak barangan daripada GST.

Khairy berkata pengelakan cukai akan berlaku apabila SST dilaksanakan.

Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) kemudian bertanya jika ada negara lain yang kembali mengamalkan SST.

Pua berkata Amerika Syarikat, negara paling maju di dunia, tidak melaksanakan GST, dan begitu juga Hong Kong, salah satu bandaraya terkaya di dunia.

“Tidak perlu laksana GST untuk jadi negara maju,” tambahnya.

Hasan Arifin (BN-Rompin) berkata Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan Hong Kong kerana wilayah itu wilayah maju berbanding Malaysia.

Hasan berkata SST cukai pro-perniagaan manakala GST untuk rakyat.

“GST tentang bagaimana nak diagihkan kutipan kepada orang miskin, pelajar dan sebagainya. SST tidak ada istilah bagaimana kita nak agihkan,” kata Hasan, dan menambah GST membolehkan audit di semua peringkat manakala SST pula mengalakkan pengelakan cukai.

Pua berkata GST juga dikenali sebagai cukai kepenggunaan yang ditanggung rakyat.

“Ada bukti GST menyebabkan harga barang naik. Inflasi naik kepada 3.1% pada 2015. Apabila kita turunkan kadar GST kepada sifar pada Jun, ia adalah 0.8%,” katanya.

Pua berkata barang-barangan akan lebih murah apabila SST dilaksanakan semula bulan depan.